Enam Pelancong Malaysia Bawa Dadah RM2 Juta Ditahan Di Hong Kong


ENAM rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pelancong ditahan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kelmarin, kerana cuba membawa masuk dadah ketamin bernilai hampir HK$4 juta (RM2 juta).

Media tempatan melaporkan, enam lelaki berusia antara 18 hingga 28 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan di kaunter kastam sebaik tiba di Hong Kong dari Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Menurut sumber, lebih lapan kilogram dadah disyaki ketamin ditemui dilekat pada badan empat daripada mereka yang bernilai dianggar HK$3.9 juta.

Siasatan awal menunjukkan dadah itu untuk dijual di Hong Kong.

Menurut sumber itu pengedar dadah mungkin menggunakan kumpulan pelancong untuk membawa barang terlarang kerana menganggap mereka tidak begitu diperhatikan pihak berkuasa apabila masuk ke Hong Kong.

Sumber lain pula berkata, ketamin lazimnya dibawa masuk ke Hong Kong dari Tanah Besar China menyebabkan taktik dalam kes ini sebagai ganjil.

“Kami percaya tindakan tegas terhadap aktiviti dadah di Tanah Besar memaksa mereka mencari kaedah baru menyeludup bahan itu ke Hong Kong.

“Kami sedang menyiasat sama ada dadah itu diseludup ke Malaysia sebelum dibawa ke sini, selain CARA enam suspek itu direkrut,” katanya. - Agensi