KUALA LUMPUR - Selepas Pahang mencetuskan kekecohan susulan keengganan mereka menyertai Piala AFC 2018, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nampaknya masih menunggu untuk mengenakan hukuman ke atas pasukan Liga Super itu.
Ini berikutan sudah masuk lebih dua minggu selepas Pahang menolak tawaran memenuhi slot kedua ke saingan terbabit, namun sekretariat FAM dilihat masih belum mengambil apa-apa tindakan.
Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini memberi amaran bahawa skuad Tok Gajah itu akan berdepan hukuman seandainya mereka enggan beraksi dalam saingan tahap kedua benua Asia berkenaan.
Namun, Pahang dilihat mampu terlepas daripada sebarang hukuman selepas tiada langsung tindakan yang diambil atas kedegilan mereka sebelum ini.
Sumber menyatakan FAM bercadang untuk mengenakan hukuman berdasarkan peruntukan Artikel 67 dan Artikel 69 membabitkan 'kegagalan mematuhi' arahan dan keputusan yang ditetapkan.
Artikel terbabit pernah digunakan untuk mengambil tindakan ke atas pemain yang enggan beraksi buat skuad kebangsaan, terhadap pegawai, kelab ataupun ahli gabungan yang terbabit dalam acara yang tidak mendapat kelulusan badan induk itu serta mereka yang tidak mematuhi keputusan disiplin yang ditetapkan oleh FAM.
"FAM boleh mengambil tindakan ke atas Pahang, namun isunya di sini adalah bentuk hukuman yang akan dikenakan," kata sumber ketika dihubungi semalam.
"Jika dahulu, denda dan penggantungan tidak melebihi setahun akan dikenakan kepada pemain atau pegawai mengikut kod disiplin yang ditetapkan.
"Namun, agak rumit jika kita hendak menghukum ahli gabungan. Bagaimana anda hendak menghukum persatuan negeri?"
Dalam masa sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin enggan mengulas mengenai isu terbabit.
Sumber: BH Online