KUALA LUMPUR - Pemansuhan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah melalui Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dilihat sebagai langkah pertama pemansuhan sepenuhnya hukuman mati di Malaysia.
Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia dan wakil negara anggota EU turut menyambut baik pemansuhan hukuman mati mandatori itu yang diluluskan Dewan Rakyat pada 30 November lalu dan Dewan Negara (14 Disember 2017).
Menerusi pindaan itu, mahkamah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara dalam menghukum pengedar dadah sama ada dengan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup.
Delegasi EU ke Malaysia dan wakil negara anggota EU dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengesahkan ketegasan dan bangkangan keras terhadap pelaksanaan hukuman mati dalam semua keadaan dan kes.
"EU menyifatkan hukuman mati sebagai hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan, yang tidak menghalang jenayah secara efektif berbanding hukuman lain, dan menafikan integriti dan maruah kemanusiaan," katanya.
Kenyataan itu berkata, EU juga berpandangan mereka yang dikenakan hukuman mati perlu diberi peluang untuk membuat semakan kehakiman.
"EU menggesa Malaysia menghentikan semua hukuman dan mengadakan moratorium (penangguhan) ke atas hukuman mati hingga pemansuhan sepenuhnya hukuman mati mandatori itu," kata kenyataan itu.
Sumber: BH Online