KUALA LUMPUR - Pendatang baharu Liga Perdana, Pulau Pinang boleh menarik nafas lega selepas tonggak tengahnya, Mohd Faiz Subri dijangka akan kekal terus menyarung jersi skuad Harimau Kumbang untuk musim 2018.
Perkembangan itu disahkan oleh pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa FIFA) itu yang mengakui dia mahu terus kekal dengan pasukan berpangkalan di utara tanah air berkenaan kerana mahu membantu pasukan terbabit kembali ke kancah Liga Super.
"Perkembangan terkini adalah berkemungkinan besar saya akan terus kekal bersama Pulau Pinang untuk musim depan.
"Tawaran pasukan lain itu memang ada, tetapi buat masa ini, saya tetap memilih untuk kekal bersama Pulau Pinang dan jika ada rezeki, saya mahu membantu mereka mara ke Liga Super semula," katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, Faiz mengakui saingan Liga Perdana pada musim 2018 bakal menjadi sengit sekali gus mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang ringan cabaran yang akan diharungi mereka nanti.
"Saingan Liga Perdana memang berbeza dengan Liga Super, tetapi tekanannya kini hampir menyamai tekanan beraksi dalam Liga Super. Jadi, kami harus bersedia sepenuhnya dan memberikan persembahan yang terbaik," katanya.
Sebagai rekod, skuad yang dikendalikan Zainal Abidin Hassan pada musim ini menyertai saingan Liga Super pada musim 2016 selepas mara secara automatik selaku naib juara Liga Perdana 2015, namun jodoh mereka hanya bertahan lama selama dua musim.
Musim 2017 menyaksikan Pulau Pinang sekadar mengutip 12 mata daripada 22 perlawanan menerusi tiga kemenangan, tiga seri dan 16 kali tewas selain mencetak 16 gol, namun dibolos 43 gol.
Kedudukan itu menyaksikan Harimau Kumbang akhirnya tersingkir ke Liga Perdana bagi mengharungi musim 2018.
Sumber: BH Online