Gelandangan Warga Emas Ditemui Mati Berhampiran Tanah Perkuburan


DUNGUN – Seorang gelandangan warga emas ditemui mati dalam keadaan terbaring berhampiran tanah perkuburan di Masjid Paka di sini hari ini.

Ismail Puteh, 70, atau lebih dikenali sebagai Pok Weng oleh penduduk kampung ditemui terbaring di bawah sebatang pokok oleh orang ramai yang melalui jalan tersebut pada ‪pukul 9.50‬ pagi. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaakub berkata, mangsa yang mengalami masalah kemurungan sering dilihat merayau-rayau sekitar kawasan tersebut oleh penduduk kampung, lapor kosmo.

Beliau berkata, lokasi penemuan mayat mangsa merupakan laluan yang sering digunakan oleh orang ramai dari kampung berdekatan sebagai jalan pintas untuk ke masjid dan pasar. 

“Mangsa dikatakan mengalami masalah kemurungan selepas kematian ibunya dan hidup sebagai gelandangan walaupun masih mempunyai saudara-mara. 

“Mangsa juga sering menjadikan kawasan perkuburan serta kawasan sekitar sebagai tempat tidur selain menampung hidup dengan pemberian makanan dan wang daripada masyarakat setempat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Ahmad Zailani berkata, pemeriksaan awal terhadap mayat mangsa mendapati tiada unsur-unsur jenayah yang ditemui dan mangsa dipercayai telah meninggal dunia kurang dari 12 jam. 

Sumber: Suara TV