Gempar Penemuan Mayat Bau Busuk Dalam Kereta Myvi Di Kulim


KULIM - Bau busuk dan meloyakan dihidu orang awam membongkar penemuan mayat lelaki di dalam kereta di hadapan klinik di Taman Cengal, Kulim, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, orang awam yang terhidu bau busuk di kawasan terbabit sebelum terlihat seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalam Perodua Myvi lalu menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, mangsa berusia 81 tahun berasal dari Kulim.

“Hasil maklumat orang awam, sepasukan anggota polis ke tempat kejadian untuk pemeriksaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai berada di tempat kejadian dua hari mengikut rekod rawatan di klinik berkenaan dan kehilangannya tidak dilaporkan ahli keluarganya kerana mangsa tinggal bersendirian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kes sebagai laporan kematian mengejut.

Sementara itu, peniaga yang mahu dikenali sebagai Jega, 40, berkata, kereta mangsa diparkir di hadapan klinik deretan rumah kedai di taman terbabit, namun bahagian hadapan menghadap ke arah jalan utama serta terlindung beberapa pokok menyebabkan orang awam tidak menyedarinya.

“Sejak semalam (kelmarin), peniaga serta orang awam yang berurusan di kawasan rumah kedai terhidu bau busuk, namun tidak mempedulikannya kerana menyangka bau itu datang daripada bangkai binatang.

“Bagaimanapun, ketika berjalan berdekatan kereta itu, bau busuk semakin kuat sebelum ternampak mangsa dan terus menghubungi polis,” katanya.

Sumber: MyMetro