Gugur Takraw Tak Hormati PM, TPM: Ahmad


KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berkata tindakan menggugurkan sepak takraw daripada senarai program sukan teras bagaikan tidak menghormati dua pemimpin utama negara.

"Adakah keputusan dibuat tidak menghormati Penaung PSM (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) dan Penasihat PSM (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)?

"Malah ia, seolah-olah memberi tamparan kepada mereka berdua. Namun jika tersilap (keputusan/tindakan), ia boleh diubah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Ahli Majlis Tertinggi PSM, semalam.

Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan sepak takraw bersama angkat berat dan taekwondo digugurkan daripada senarai program sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN).

Selain, ia juga tidak akan dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak. Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN di ibu negara.

Dalam pada itu, Ahmad berkata mesyuarat PSM memutuskan tidak akan membuat rayuan keputusan MSN itu kerana berasakan tiada alasan kukuh pengguguran itu dilakukan selain tidak dipertandingkan pada SUKMA di Perak.

"Kita mempunyai fakta, laporan dan bahan bahawa sepak takraw layak. Jadi kita tidak akan mengadakan perbincangan dengan MSN. Hanya dengan menteri (Khairy) dan menyerahkan kepadanya bagi menentukan tarikh yang sesuai.

"Saya yakin jika beliau tidak diberikan input yang salah, fikirannya tidak akan diracuni. Kami mahu memperbetulkan perkara ini. Kita akan berjuang habis-habisan," katanya.

PSM turut menolak sekiranya terdapat cadangan sepak takraw dipertandingkan di SUKMA 2018, namun pungutan pingat pemenang tidak diambil kira.

Sumber: BH Online