Guna Paip Getah Libas, Jerut Leher Isteri Pertama


CEMBURU melihat gambar si isteri dengan lelaki lain, seorang bekas tentera naik hantu apabila tergamak menjerut leher mangsa menggunakan paip getah dalam kejadian di Seberang Takir, Kuala Nerus kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berusia 56 tahun itu turut mengugut akan membakar rumah mereka sekiranya dia melihat mangsa berusia 54 tahun bersama lelaki lain.

Difahamkan, suspek mempunyai tiga isteri dan mangsa adalah isteri pertama selain dikatakan sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah wanita terbabit sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.45 malam ketika mangsa berada di rumah sebelum berlaku pertengkaran dengan suspek.

Beliau berkata, suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana cemburu selepas menerima gambar mangsa bersebelahan dengan lelaki lain di majlis kenduri kahwin.

"Mangsa memaklumkan gambar yang diterima suaminya itu sudah diubah suai pihak lain sedangkan gambar sebenarnya adalah gambar mangsa bersama beberapa kawan persekolahan terdiri daripada lelaki dan wanita.

"Walaupun mangsa cuba menjelaskan perkara sebenar, suspek yang gagal mengawal perasaan marahnya cuba melibas isterinya menggunakan paip getah namun sempat dihalang anak perempuan pasangan berkenaan.

"Tidak cukup dengan itu, suspek turut bertindak menjerut leher mangsa menggunakan getah sama beberapa saat sebelum anaknya bertindak membuka jerutan dan tindakan suspek menyebabkan mangsa sakit di leher," katanya.

Idris berkata, kemarahan suspek tidak berakhir di situ apabila mengugut akan membakar rumah dan mencederakan mangsa sekiranya melihat wanita terbabit bersama lelaki lain.

Katanya, susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Gong Badak, suspek ditahan kira-kira jam 4 petang semalam di Seberang Takir, Kuala Nerus untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Sumber: Metro