Hadkan Seorang Ahli Keluarga Bekerja Di Sektor Awam


KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu menetapkan peraturan bagi mengehadkan hanya seorang daripada satu keluarga dibenarkan bekerja dalam perkhidmatan awam bagi memberi peluang sama rata kepada orang ramai.

Senator Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata langkah itu bagi membendung kemungkinan berlaku amalan kronisme  dalam perkhidmatan awam atau badan berkanun.

"Justeru kita mahu kerajaan meneliti dan mengkaji semula penawaran jawatan di sektor awam,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 di Dewan Negara semalam.

Selain itu, Shahanim turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi perhatian lebih serius kepada institusi anak-anak yatim yang dilaporkan tidak mendapat peruntukan sewajarnya.

Katanya beliau dimaklumkan bahawa anak-anak yatim di bawah jagaan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) hanya menerima peruntukan makanan sebanyak RM8 untuk menanggung makan lima kali sehari.

Sementara itu, Senator Datuk Mohd Salim Mohd Sharif pula mencadangkan supaya kerajaan memberi keistimewaan pengurangan cukai kepada majikan yang mengutamakan pengambilan pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan jawatan.

Beliau berkata insentif itu perlu bagi menggalakkan lebih ramai majikan mengambil pekerja tempatan dan tidak lagi bergantung kepada pekerja asing.

Persidangan bersambung esok. - Bernama