Harap Kekal Di Shah Alam


KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) masih mengharapkan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi skuad Selangor untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan dan berharap keputusan itu akan diketahui dua minggu lagi.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata persatuan itu mengharapkan kerajaan negeri khususnya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memanggil mereka untuk berbincang tentang penggunaan Stadium Shah Alam.

"Orang akan membuat spekulasi mengenai ini (penggunaan stadium) kerana Selangor sepatutnya bermain di Stadium Shah Alam dan saya sendiri rasa tak logik kalau pasukan Selangor bermain di stadium lain kerana Red Giants sepatutnya bermain di Stadium Shah Alam.

"Kami masih berharap kerajaan negeri Selangor akan membenarkan kami menggunakan Stadium Shah Alam kerana penggunaan Stadium Shah Alam juga bukanlah secara percuma kerana kita pakai pun kita bayar," katanya selepas merasmikan Kejohanan Bolasepak Remaja Antarabangsa Dato Chu Ah Ngee Kelab Diraja Selangor (RSC) kali ke-13 di sini hari ini.

Subahan berkata demikian bagi mengulas khabar angin yang mengatakan FAS bercadang menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi selepas tidak mendapat persetujuan menggunakan Stadium Shah Alam bagi musim hadapan.

"Kita tengok negeri lain seperti Perak pun boleh menggunakan Stadium Shah Alam tetapi Selangor pula tidak dibenarkan, jadi saya masih berharap agar pihak berkenaan membuka minda dan tergerak hati membenarkan Selangor bermain di Stadium Shah Alam.

"Sama ada di Stadium Nasional, kami masih belum tahu lagi tetapi dalam dua minggu lagi kita akan tahu jawapannya dan maklumkan di mana kita bermain," katanya.

Subahan berkata mereka tidak bercadang untuk menggunakan Stadium Selayang kerana kapasiti penonton yang boleh memuatkan 11,000 penonton sahaja berbanding Stadium Shah Alam yang boleh memuatkan 80,000 penonton kerana penjualan tiket turut menjadi penyumbang kepada sumber kewangan persatuan itu.

"Kami tidak mendapat sebarang peruntukan dan jika sebelum dua tahun lalu, kerajaan negeri memberi penutukan RM23-25 juta dan tiba-tiba peruntukan ditarik.Jika tak bantu beri peruntukan pun tak apa tapi sekurang-kurangnya berilah kami bermain di Stadium Shah Alam," katanya.

Sumber: BH Online