Harap Skuad Kim Swee Bawa Impak Positif 2018


PERJUANGAN skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam kempen Kejuaraan B-23 AFC di Jiangsu, China bulan depan diharap mampu membuka ‘buku’ baharu bola sepak negara yang lebih positif untuk 2018.

Biarpun bakal berdepan tugas berat apabila perlu menentang tiga pasukan dari Timur Tengah dalam Kumpulan C, bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar bagaimanapun menjelaskan ia tidak boleh dijadikan alasan untuk skuad muda negara gagal menampilkan aksi terbaik.

Malah, Mohamad berkata, berdepan pasukan dari negara Arab yang pasti memiliki kelebihan daripada aspek fizikal juga adalah ujian terbaik untuk melihat sejauh mana kemampuan pemain muda kita berdepan pasukan luar dari Asia Tenggara.

“Bola sepak mana nak kira fizikal sekarang ini, zaman dulu memang kita nak pemain tinggi dan sasa terutama di bahagian serangan dan pertahanan. Tapi sekarang tiada lagi, permainan bola sepak sekarang lebih gunakan otak, bukan fizikal.

“Masa tahun 80-an dulu, pasukan dari Timur Tengah ini setaraf dengan kita, malah kita pernah tewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE), tapi sekarang ini kenapa mereka lebih hebat, itu yang perlu kita lihat.

“Jadi, ini peluang terbaik untuk jurulatih menilai pemain masa depan untuk skuad senior negara. Malah, kejohanan berlangsung awal tahun dan kita harap ia permulaan yang baik untuk tahun 2018,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang baharu saja selesai melakukan persiapan di Korea Selatan akan bertolak ke Nanjing, China, hari ini untuk mengharungi perlawanan persahabatan terakhir berdepan skuad B-23 Syria di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing pada Jumaat ini.

Bagi Kejuaraan B-23 AFC, anak buah Kim Swee akan membuka tirai kejohanan bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Selain itu, Mohamad yang juga bekas penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980, berharap jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak membuang masa menarik pemain B-23 yang dilihat mampu diserapkan dalam skuad Harimau Malaya.

“Seperti yang saya katakan, kejohanan ini perlu dijadikan ujian terbaik untuk jurulatih (Cheng Hoe) membuat penilaian dan jika mereka layak, serap saja ke skuad senior.

“Kita kena buang sifat asingkan pemain, tidak kira pemain B-19 atau B-23, jika mereka layak, jurulatih skuad senior perlu ambil saja. Malah, saya fikir pemain seperti skuad B-23 ini pun tidak boleh dianggap muda lagi,” katanya.

Sumber: MyMetro