KUALA LUMPUR – Pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Berhad mengumumkan pemberian diskaun tol 10 peratus kepada pengguna lebuh raya berkenaan sempena cuti perayaan Hari Natal tahun ini.
Diskaun tol untuk semua kelas kenderaan itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam bermula pukul 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 25 Disember ini.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, inisiatif memberikan diskaun tol itu sebagai tanda terima kasih kepada semua pengguna KLK dan LPT 1.
“ANIH Berhad turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan pulang ke pantai timur sempena cuti perayaan Hari Natal.
“TTA ini disediakan untuk membantu menyuraikan trafik dan mengurangkan kenderaan bertembung pada sesuatu masa yang sama di plaza tol (waktu puncak), khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga menyebabkan kesesakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nik Fauzi berkata, waktu-waktu puncak trafik dijangka membanjiri Lebuhraya KLK & LPT 1 sempena cuti Hari Natal pada 23 Disember 2017 iaitu mulai pukul 11 pagi hingga 1 petang (menghala pantai timur) dan pada 25 Disember 2017 antara pukul 3 hingga 6 petang (menghala ke Kuala Lumpur).
Sehubungan itu, katanya, ANIH Berhad menyarankan pengguna yang ingin menuju ke Pahang pada 23 Disember ini untuk masuk ke lebuh raya sama ada pada pukul 12 tengah hari hingga 3 petang atau antara pukul 7 hingga 11 malam.
“Pengguna yang ingin menuju ke Terengganu dan Kelantan pada tarikh yang sama pula boleh memulakan perjalanan antara pukul 6 hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 8 malam.
“Untuk kembali semula ke ibu kota pada 25 Disember, pengguna dari Pahang boleh memilih sama ada untuk memulakan perjalanan antara pukul 6 hingga 10 pagi atau antara 7 petang hingga 11 malam,” katanya.
Tambah beliau, pada tarikh sama, pengguna dari Terengganu pula disarankan memasuki lebuh raya antara pukul 8 hingga 11 pagi atau antara 8 hingga 10 malam, manakala pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula pukul 6 petang hingga 10 malam atau antara 9 malam hingga 12 tengah malam. - Kedahnews.com