Hasrat Murni SMK Aman Jaya Bantu Pelajar Miskin


ALOR SETAR - Tiada apa yang lebih bermakna daripada membantu golongan yang memerlukan, itu antara niat murni dan usaha Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aman Jaya dekat Sungai Petani dalam usaha membantu pelajar miskin.

Dengan cara mengambil inisiatif mewujudkan Tabung Penyayang, mereka percaya tindakan itu mampu menghulur bantuan kepada pelajar miskin di sekolah terbabit.

Pengetuanya, Ismail Othman berkata, tabung tersebut telah pun diwujudkan sejak lebih empat tahun lepas.

Ternyata ia satu kejayaan bermakna kerana ia telah membantu lebih 300 pelajar sekolah yang diketagorikan sebagai miskin dan miskin tegar.

"Sekolah ini mempunyai lebih 2,000 pelajar setiap tahun, 75 peratus pelajar Melayu, 20 peratus India dan 5 peratus Cina? kira-kira 400 pelajar dikategorikan sebagai pelajar miskin dan miskin tegar dengan pendapatan ibu bapa di bawah RM1,000 dan RM500 sebulan.

"Kebanyakan ibu bapa pelajar ini bekerja sebagai penoreh atau buruh kasar, dan ada juga daripada keluarga bermasalah, sebab itu kami ambil inisiatif untuk bantu mereka untuk datang ke sekolah bagi menuntut  ilmu," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Sumbangan  Pakaian Sekolah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani di sekolah itu semalam.

Ulasnya, Tabung Penyayang berperanan menghulurkan bantuan bersesuaian dengan keperluan pelajar yang memerlukan dan dana tabung adalah hasil sumbangan warga pendidik SMK Aman Jaya.

"Ada bantuan dari segi kewangan, pakaian seragam, sekolah, kasut, beg, yuran, bahkan bantuan barangan yang kita hantar terus ke rumah, bagi pelajar yang miskin tegar.

"Matlamat pihak sekolah agar semua pelajar berpeluang belajar bersungguh-sungguh, jangan jadikan kemiskinan itu sebagai penghalang untuk mereka menuntut ilmu," katanya.

Ismail berkata, seramai 2,500 pelajar tingkatan satu hingga lima, yang berdaftar bagi sesi persekolahan 2018, dan daripada jumlah itu lebih 300 pelajar adalah pelajar miskin dan miskin tegar.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada KPDNKK Cawangan Sungai Petani yang sudi menyumbangkan pakaian seragam sekolah, beg dan kasut kepada 40 pelajar miskin di sekolah itu. - Kedahnews.com