PENGASAS Let’s Cantik Skincare, Nur Sajat mengakui sudah malas melayan kerenah dan kritikan haters yang sering kali cuba menjatuhkan dirinya.
Memetik laporan Astro Awani, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, Sajat berkata beliau mengibaratkan golongan itu seperti penyampai ‘santau’ di zaman moden.
“Jika di zaman dahulu, kalau ada yang tak berpuas hati dengan sesetengah pihak, mereka mempercayai aktiviti mistik serta boleh menghantar santau seperti santau angin, santau makanan dan sebagainya untuk menjatuhkan seseorang.
“Zaman sekarang pula, haters yang terdiri daripada golongan keyboard warrior ini menjadi penyampai ‘santau’ di zaman moden.
“Tak perlu aktiviti mistik, mereka hanya menggunakan kata-kata kasar dan menyakitkan hati. Tujuan masih sama iaitu untuk menjatuhkan.
“Bagi saya, lebih baik jika golongan seperti ini tidak dilayan langsung kerana tak semua pihak akan berpuas hati dengan apa yang kita lakukan,” kata pelantun lagu, Abang Nak Tegur itu.
Tambahnya lagi, dia kini lebih mementingkan dan mengutamakan perasaan keluarga berbanding ‘mulut-mulut puaka’ yang hanya pandai menghukum tanpa mengetahui situasi dialami oleh beliau.
“Untuk tidak memikirkan mengenai haters, saya bergaul dengan orang yang positif.
“Mereka yang tidak berpuas hati boleh berkata macam-macam, tetapi ada baiknya jika saya tidak mengambil peduli dan terus melakukan apa yang saya rasakan terbaik.
“Daripada menjaga perasaan orang lain, ada baiknya jika keutamaan diletakkan pada perasaan keluarga.
“Lebih baik saya menjaga perasaan keluarga berbanding mengambil kisah mengenai kata-kata nista orang luar yang bergelar haters,” tambahnya.
Sajat berkata demikian bagi mengulas berhubung kritikan netizen terhadap dirinya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Abang Nak Tegur, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, video lirik, Abang Nak Tegur kolaborasi bersama usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri telah menerima lebih daripada 4,000,000 tontonan dalam tempoh sebulan sejak dimuat naik di YouTube.
Meskipun dikecam setiap hari, namun Sajat nampaknya semakin tidak ambil pusing tentang hinaan orang ramai terhadapnya, malah lebih bersemangat mempromosikan perniagaannya. -Kedahnews.com