Henti Guna Dolar AS Dalam Urus Niaga Minyak - MIC


KUALA LUMPUR – MIC semalam mencadangkan agar dunia Islam berhenti daripada menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS) dalam urus niaga minyak sebagai tindak balas terhadap langkah AS mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Bendahari Agung parti, Datuk Seri S. Vell Paari berkata urus niaga itu boleh dilakukan dalam mata wang lain yang diterima negara pengeluar minyak dan gas.

“Kuasa dan pengaruh yang dimiliki Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu meyakinkan negara pengeluar minyak untuk tidak lagi menggunakan dolar AS dalam perdagangan minyak.

“Ini akan memberi pengajaran kepada AS kerana keputusannya mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel akan mempunyai kesan buruk.

“Memandangkan dunia Islam dikurniakan dengan minyak, ia merupakan satu-satunya “senjata’ praktikal yang perlu digunakan terhadap Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Vell Paari juga berkata tindakan Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara baharu Israel akan menggagalkan usaha untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa sudah tiba masanya langkah konkrit diambil untuk melindungi rakyat Palestin dan memberi tekanan terhadap AS dalam memperjuangkana nasib rakyat Palestin.

Trump mengumumkan pada Rabu bahawa AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis tidak lama lagi. – BERNAMA