Hina Nabi: Suri Rumah Kena Jel 6 Bulan, Denda RM15,000


IPOH - Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda keseluruhan RM15,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghina Nabi Muhammad SAW pada Mei tahun lalu.

Majistret Siti Hanum Md Sah membuat keputusan itu selepas meneliti semua keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tham Yut Mooi, 46, didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 petang pada 4 Mei tahun lalu di dalam ruang solat Masjid Abu Ubaidah, Jalan Perpaduan di Taman Perpaduan Ulu Kinta di sini.

Dia dituduh mengeluarkan kata-kata 'Nabi Muhammad babi' yang didengar oleh tiga individu iaitu Abdul Rahim Mat Diah, 53; Mohd Yunos Harun, 73 dan Mohd Halim Buyong, 44, yang dilakukan dengan niat untuk melukakan perasaan keagamaan individu berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum setahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam, WC Chiang.

Terdahulu, Fadhli memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh kerana ia kesalahan yang serius, membabitkan sensitiviti agama, kepentingan awam dan tidak seharusnya dilakukan oleh sesiapa pun.

Katanya, perkataan menghina itu tidak seharusnya dikeluarkan di hadapan masyarakat Islam malah di hadapan penganut agama lain sekalipun kerana sebagai rakyat Malaysia setiap agama mesti menghormati antara satu sama lain.

Sementara itu peguam tertuduh memohon kepada mahkamah memberikan hukuman yang ringan kerana tertuduh mempunyai dua anak dan ibu bapa yang perlu dijaga.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman terhadap tertuduh dijalankan serentak dari tarikh sabitan malah tertuduh berdepan hukuman penjara tambahan selama tiga bulan bagi setiap kesalahan jika gagal membayar denda ditetapkan.

Mahkamah juga membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga tempoh rayuan kes berkenaan selesai dengan syarat tambahan perlu membayar jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sumber: BH Online