Hukuman Pahang Boleh Kurang Jika Ada Rayuan


KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tetap perlu mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) andai ingin mengurangkan hukuman tatatertib.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata hukuman yang diputuskan oleh jawatankuasa tatatertib badan induk bola sepak negara itu tidak lagi boleh dipertimbangkan ketika ini.

"Soal rayuan, itu terpulang kepada Pahang namun saya difahamkan mereka tidak mahu merayu. Kemungkinan mereka ada sebab tersendiri dan kita hormati keputusan mereka.

"Cuma hukuman hanya boleh dikurangkan menerusi jawatankuasa rayuan. Dan dalam kes ini, PBNP perlu membuat rayuan terlebih dulu sebelum pertimbangan boleh dilakukan," katanya selepas majlis makan malam pengadil FAM di Kelana Jaya, dekat sini, malam tadi.

Semalam, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengharapkan jawatankuasa rayuan badan induk itu dapat meringankan hukuman ke atas Pahang yang dilarang memohon lesen Kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selama dua tahun.

Tunku Ismail mengakui tempoh hukuman yang dijatuhkan jawatankuasa tatatertib itu terlalu lama dengan beliau berharap PBNP mengemukakan rayuan.

Tindakan Pahang yang enggan menerima tawaran FAM untuk mengisi satu lagi slot pasukan ke saingan Piala AFC 2018 membawa padah selepas tidak dibenarkan untuk memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana ingkar arahan badan induk itu apabila enggan atau gagal mendaftarkan pasukan ke pertandingan Piala AFC musim depan.

Mengikut peruntukkan statut FAM, Artikel 14 Status FAM - obligasi ahli menuntut pasukan mematuhi sepenuhnya statut, peraturan, arahan dan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa FIFA), AFC dan FAM pada setiap masa.

Sumber: BH Online