Ibu Hamil 5 Bulan Ke Atas Balik Awal Sejam: 1 Jan


KUALA LUMPUR - Berkuat kuasa 1 Januari ini, penjawat awam lantikan tetap dan kontrak yang mengandung lima bulan dan ke atas dibenarkan pulang satu jam lebih awal daripada masa bekerja biasa.

Kemudahan itu diberikan kepada semua penjawat awam termasuk yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Manfaat sama turut dinikmati suami penjawat awam berkenaan yang bekerja di lokasi berdekatan pulang bersama bagi membantu isteri dalam perjalanan pulang ke rumah.

Pelaksanaan kebenaran pulang awal satu jam bertujuan menjaga kebajikan dan keselamatan penjawat awam wanita yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017 `Pelaksanaan Kebenaran Pulang Awal Satu Jam Kepada Pegawai Wanita Mengandung' .

Pekeliling itu ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman, semalam.

Pekeliling itu turut menjelaskan tafsiran `lokasi berdekatan' merujuk kepada tempat suami dan isteri bekerja dalam satu bangunan, kompleks atau kawasan yang membolehkan suami dan isteri menaiki kenderaan sama sepenuh atau sebahagiannya untuk pulang dari tempat kerja.

Berdasarkan pekeliling berkenaan, sebelum ini penjawat awam wanita diberikan kemudahan cuti bersalin dan cuti menjaga anak.

Selaras dengan keprihatinan terhadap penjawat awam wanita, kerajaan bersetuju memperkenalkan inisiatif kebenaran pulang awal satu jam.

Menurut pekeliling itu juga, penjawat awam boleh dibenarkan menggunakan kemudahan itu pada bila-bila masa apabila mengandung lima bulan atau kandungan berusia 22 minggu dan ke atas.

"Kemudahan ini akan tamat sehari selepas tarikh akhir yang diluluskan atau pada tarikh mulanya cuti bersalin mengikut masa yang terdahulu.

"Penggunaan kemudahan ini adalah berdasarkan permohonan pegawai dan kelulusan Ketua Jabatan.

"Borang permohonan diisi sekali sahaja bagi setiap kehamilan. Borang ini perlu dikemukakan seminggu sebelum kemudahan ini hendak digunakan bagi melicinkan urusan pentadbiran pejabat," menurut pekeliling itu.

Selain itu, penjawat awam yang menggunakan kemudahan kebenaran untuk meninggalkan pejabat bagi tempoh empat jam sebagaimana diperuntukkan dalam Surat Edaran JPA, bertarikh 9 Disember 2009, ia dianggap sudah menggunakan kemudahan itu bagi hari berkenaan kerana pengiraan tempoh empat jam adalah termasuk tempoh penggunaan kemudahan itu.

Sementara itu, pada Ramadan, penjawat awam dibenarkan memilih untuk menggunakan kemudahan berkenaan atau kemudahan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) Ramadan.

Bagi penjawat awam yang memilih untuk menggunakan kemudahan ini tidak dibenarkan menuntut bayaran lebih masa bagi tujuan menyelesaikan tugasan hakiki yang tertunggak kerana pulang lebih awal.

Contohnya, kakitangan pulang awal satu jam setiap hari menyebabkan kerjanya tertunggak dan datang pada Sabtu (Hari Rehat Mingguan) atau Ahad (Hari Kelepasan Mingguan) untuk menyelesaikan kerja tertunggak mereka tidak dibenarkan membuat tuntutan bayaran lebih masa.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan boleh mengarahkan kakitangan bekerja lebih masa atas sebab kepentingan perkhidmatan selaras dengan peraturan kerja lebih masa yang dikuatkuasakan.

Tuntutan bayaran lebih masa hanya dibenarkan bagi kerja selain daripada kerja tertunggak yang disebabkan oleh penggunaan kemudahan ini.

"Bagi Perkhidmatan Pendidikan yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran sepenuh masa di sekolah atau institusi pendidikan dan perkhidmatan, waktu bekerja berlainan daripada waktu membabitkan waktu bekerja syif.

Justeru, Ketua Jabatan boleh menyediakan peraturan dalaman berkaitan kemudahan itu yang bersesuaian dengan kepentingan perkhidmatan masing-masing.

"Kemudahan ini bukan satu hak bagi pegawai. Ketua Jabatan atas kepentingan perkhidmatan, boleh menarik balik atau meminda kelulusan kemudahan ini yang diberikan pada bila-bila masa," katanya.

Sumber: BH Online