PENDANG - Seorang ibu tunggal buntu memikirkan masa depan empat anaknya yang masih kecil berikutan dia tidak mempunyai pendapatan tetap.
Siti Juliana Mat Nasir, 30, berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat kontraktor, namun terpaksa berhenti kerana perlu menguruskan persekolahan anak-anaknya berusia empat hingga 11 tahun. "Selepas berhenti kerja sebagai kerani, saya kerja jadi pembantu kedai makan dengan gaji RM25 sehari," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulai, Rabu.
Menurutnya, dia terpaksa berbuat demikian kerana perlu menguruskan persekolahan anak-anaknya.
"Susah kalau saya teruskan kerja itu sebab tak ada orang nak bantu ambil anak dekat sekolah dan sebagainya jadi saya terpaksa kerja dekat dengan rumah," katanya.
Siti berkata, dia juga bersyukur kerana ibu bapanya yang tinggal berdekatan rumahnya turut membantu perbelanjaan anak-anaknya.
“Ayah banyak tolong saya, kalau tak ada ayah saya tak tau macam mana anak-anak saya nak hidup.
“Tapi, sampai bila nak harapkan ayah sebab dia pun dah semakin tua dan kurang sihat,” katanya.
Siti Juliana berkata, ayahnya yang bekerja di kilang beras banyak menghulurkan wang bagi meringankan bebannya mengurus persekolahan anak.
Anak sulung Siti, Mohd Haikal Abdullah, 11, merupakan pesakit Albino dan memerlukan penjagaan yang agak rapi.
“Dia tak boleh kena panas, kalau tak habis kulit badan dia akan kemerahan,” katanya.
Tambahnya, dia juga pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak berjaya.
“Saya tak tau nak mengadu kepada siapa kerana anak saya semakin besar dan belanja mereka sangat tinggi.
“Tambah tahun depan musim persekolahan yang baru bakal bermula, banyak juga persediaan yang perlu saya buat untuk depa,” katanya.
Sementara itu, Pegawai JKM Pendang, Syaffrey Ibrahim berkata, pihaknya tidak meluluskan permohonan yang dikemuka oleh ibu tunggal berkenaan pada 17 Januari lalu ekoran pendapatannya melebihi daripada jumlah yang ditetapkan.
“Sekarang ini, dia sudah tidak mempunyai pendapatan seperti sebelum ini, kemukakan semula permohonan dan insya-ALLAH kita akan cuba membantu,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0213141000042931 atas nama Siti Juliana Mat Nasir.
Sumber: Sinar Online