Ibu Warga Thailand Rayu Pekerja Wanita Dari Gurun Pulangkan Anak Lelaki


ALOR SETAR - Seorang wanita Thailand mendakwa anak lelakinya yang berusia empat tahun, dilarikan bekas pekerja restoran ibunya yang juga seorang penduduk tempatan, sejak hampir dua tahun lalu.

Ibu kanak-kanak tersebut, Alice Jarong, 28, yang berasal dari Pattani, mendakwa terlalu merindui anak keduanya itu, Alif Hiransumton atau nama panggilannya Adam, yang kali terakhir ditemui akhir tahun 2015, ketika membawa anaknya bercuti di Bangkok.

Mengimbas kembali kehilangan anaknya itu, Alice mendakwa, wanita tempatan berusia 40-an berkenaan adalah pekerja di restoran milik ibunya di bandar ini pada 2014, yang sebelum ini amat rapat dengan keluarga mereka.

"Adam dibawa ke Jempol ketika berusia tujuh bulan kerana saya membantu ibu menguruskan restorannya, tiga tahun lalu. Wanita itu kelihatan amat sayangkan anak saya dan kerap membawanya pulang ke rumah selepas habis bekerja.

"Pada awal tahun 2015, saya terpaksa pulang ke Pattani kerana anak sulung mula bersekolah dan meninggalkan Adam di bawah jagaan ibu. Ketika itu, wanita berkenaan meminta kebenaran untuk menjaganya dan kami mengizinkan kerana dia membawa anak saya ke restoran setiap hari.

"Bagaimanapun keadaan berubah apabila ibu saya memberitahu hasrat menutup perniagaannya, menyebabkan wanita terbabit menghilangkan diri bersama anak saya pada April tahun lalu," katanya ketika ditemui, semalam.

Jelas Alice, pelbagai usaha dilakukannya untuk mengesan wanita tersebut termasuk membuat hebahan menerusi Facebook serta mengunjungi rumah keluarganya di Gurun, Kedah, namun gagal.

Ujarnya, beliau tidak membuat laporan polis sebelum ini kerana tidak mahu wanita itu ditangkap dan dipenjarakan.

Tambahnya lagi, dengan bantuan seorang kenalan Facebook, dia akhirnya memperoleh nombor telefon wanita itu dan berjaya menghubunginya Khamis lalu sebelum merayu supaya anaknya dipulangkan.

"Dia berjanji memulangkan anak saya di sini pada Sabtu lalu, namun tidak berbuat demikian, malah menutup talian telefonnya. Berikutan itu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Gurun, semalam(Selasa), dan Balai Polis Bandar Seri Jempol (Rabu)," ujarnya yang dipetik BH Online.

Alice merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Adam atau wanita terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar daerah ini, supaya menghubunginya menerusi telefon 017-410 0539 atau 016-444 8103.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim, mengesahkan menerima laporan warga Thailand berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap kes itu.- Kedahnews.com