Ifwat Tercalon Dua Kategori ABK2017


ALOR SETAR - Penjaga gol muda Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim dipilih sebagai tiga calon akhir bagi dua kategori pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK2017) yang akan dilangsungkan esok.

Menurut sumber, penjaga gol skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) itu yang kini sedang menjalani latihan pusat di Korea Selatan disaingi dua lagi pencabarnya bagi anugerah Penjaga Gol Terbaik iaitu penjaga gawang kebangsaan, Hafizul Hakim (Perak) dan FELDA United, Farizal Harun.

Edisi tahun lalu menyaksikan anugerah tersebut dimenangi penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Bukan itu sahaja, penjaga gol berusia 21 tahun itu turut tercalon bagi kategori Pemain Muda Harapan yang turut menampilkan dua rakan sepasukannya dalam skuad B-23, Adam Nor Azlin (Selangor) serta Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) dengan anugerah itu dimenangi penyerang T-Team, Safawi Rasid, tahun lalu.

Bagi anugerah Jurulatih Terbaik pula menampilkan dua pengendali pasukan Liga Perdana sebagai tiga calon akhir bagi merebut gelaran yang dimenangi bekas pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe, tahun lalu.

Irfan Bakti Abu Salim (Terengganu) akan disaingi pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim dengan jurulatih FELDA United, B Sathianathan melengkapkan senarai tiga calon akhir bagi anugerah berkenaan.

Pada ketika ini, hanya tiga kategori yang diumumkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dengan beberapa kategori seperti Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik serta Pemain Import Terbaik masih menjadi teka-teki.

ABK2017 akan berlangsung di Hotel One World, pada Jumaat, bermula jam 9 malam. - Kedahnews.com