Ikat Kaki Dengan Paip & Kayu Kerana Tulang Kaki Hancur


RANTAU PANJANG - Seorang lelaki di sini, sanggup membalut kakinya yang terkulai kerana tulangnya hancur dengan dengan paip, plastik, kayu dan kain daripada dipotong.

Tulang kaki kanan Yusof Mohammed, 51, dari Kampung Bendang Guchil, hancur selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan ketika bekerja sebagai buruh pembinaan di Tanah Merah pada tahun 2003.

Yusof berkata, dia tidak sanggup untuk kehilangan kaki dan lebih rela kakinya terkulai seperti itu.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, dia dimasukkan ke unit kecemasan sebelum ditempatkan di wad selama empat bulan.

“Doktor nasihatkan saya supaya potong kaki dari paras paha, tapi besi tak boleh dimasukkan dalam kaki sebab terlalu dekat dengan sendi lutut.

“Saya lebih rela balut kaki saya dengan plastik PVC paip setiap hari kerana tak sanggup hidup tanpa kaki,” katanya.

Dia berkata, dia juga risau jika kaki kakinya dipotong, dia akan menghadapi lebih banyak kesulitan dan menyebabkannya sukar bergerak seterusnya menyusahkan isteri dan dua anaknya yang berusia 16 serta 17 tahun.

Bagi mengukuhkan struktur kaki, Yusof berkata, dia menghabiskan masa hampir sejam untuk membalut kaki dengan paip, plastik, kayu dan kain.

Disebabkan kekangan itu, Yusof tidak mampu bekerja dan terpaksa mengharapkan isteri yang bekerja sebagai pembantu tukang masak di kantin salah sebuah kilang di sini.

“Dah ramai orang nasihatkan saya supaya potong kaki tapi buat masa ini saya lebih selesa begini.

“Namun, saya akan mempertimbangkan pembedahan kaki jika ia menjejaskan kesihatan saya nanti,” katanya.

Sumber: Sinar Harian