Individu Bawa Senjata Untuk Keselamatan Diri Boleh Dipenjara?


KUALA LUMPUR - Ramai yang menyangka menyimpan atau membawa senjata seperti pisau kecil atau kayu untuk tujuan keselamatan adalah perkara biasa tanpa menyedari perbuatan itu boleh menyebabkan mereka merengkok dalam penjara.

Seorang peguam, Faizal Rahman memberitahu Bernama, individu yang memiliki, membawa atau menyimpan senjata walaupun hanya sebilah pisau kecil tanpa sebab sah dan alasan munasabah termasuk alasan untuk melindungi diri, boleh didakwa di bawah Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh juga disebat, jika didapati bersalah.

Faizal berkata Malaysia bukanlah sebuah negara yang kadar jenayahnya tinggi sehingga memerlukan seseorang individu itu melengkapkan diri dengan senjata apabila keluar rumah.

"Jangan beri alasan bawa senjata untuk keselamatan diri, itu tidak boleh. Negara kita bukan macam sesetengah negara luar yang tidak selamat apabila pistol boleh digunakan sewenang-wenangnya, akses pada pasukan keselamatan juga senang dan banyak, alasan membawa senjata untuk lindungi diri tidak boleh diterima," katanya.

Faizal mengulas perkara itu susulan pelbagai pandangan umum yang mempersoalkan hukuman penjara ke atas individu yang memiliki senjata walaupun mendakwa ia untuk melindungi diri selain kebimbangan individu seperti pekebun atau tukang rumah yang terpaksa membawa pisau atau parang untuk tujuan pekerjaan.

Terbaru, pada Ogos lepas, seorang pencuci kereta dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah memiliki sebilah pisau pemotong daging berukuran 25 sentimeter tanpa kebenaran.

Faizal menjelaskan akta tersebut adalah perlu bagi mencegah kes jenayah bersenjata termasuk pecah rumah, samun, rompakan, peras ugut dan aktiviti kumpulan kongsi gelap.

"Namun tindakan penguatkuasaan atau sebarang penahanan individu perlu dilakukan dengan teliti agar tiada penganiayaan berlaku kepada individu yang tidak bersalah," katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, seorang timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara berkata masih ramai yang tidak memahami perkara itu dan menyifatkan pihak polis dan pihak pendakwaan bertindak sewenang-wenangnya dengan menahan seseorang individu yang memiliki pisau atau senjata lain dan mendakwanya di mahkamah.

"Pihak pendakwaan tidak sewenang-wenangnya mendakwa mereka yang ada pisau atau apa-apa senjata sekiranya terdapat penjelasan yang munasabah. Sebagai contoh, seorang lelaki ditahan pada jam 3 pagi, dengan pisau rambo atau parang di hadapan Dataran Maybank.

"Sewaktu tangkapan, lelaki itu mendakwa senjata tersebut digunakan untuk ke kebun di Rawang.

"Persoalannya, apa yang lelaki itu buat di Dataran Maybank dengan pisau atau parang tersebut pada jam 3 pagi sedangkan dia sepatutnya ke Rawang?," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya itu berkata seseorang individu yang memiliki apa-apa senjata yang disenaraikan sebagai senjata berjadual seperti pisau, parang, pedang, kerambit, tombak, buku lima, kapak kecil dan sebagainya tanpa sebab yang sah boleh didakwa di bawah akta tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam untuk membawa senjata dengan tujuan yang betul dan juga tidak memberi alasan membawa senjata kononnya untuk keselamatan diri.

"Bawalah senjata dengan tujuan. Kalau kata nak pergi ke kebun hari ini barulah bawa senjata itu masuk ke dalam kereta hari ini. Bukan nak pergi kebun hari Sabtu tetapi hari Isnin sebelumnya dah simpan dalam kereta, ia boleh menimbulkan curiga kepada pihak berkuasa," katanya.- BERNAMA