"PENCAPAIAN ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk semua wanita di dunia."
Itu antara luahan Noor Neelofa Mohd Noor, 28, atau Neelofa yang berkongsi kegembiraan bersama 5.3 juta pengikut setia di laman Instagram.
Sambil menyifatkan pelantikan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Bhd yang diumumkan semalam sebagai antara detik penting dalam hidupnya, ikon usahawan muda itu berkongsi keterujaan untuk menggalas cabaran baharu.
"Betapa menariknya pengakhiran tahun 2017! Saya amat bersyukur dan terharu dengan pelantikan ini dan berterima kasih kepada semua di atas ucapan yang diberikan," kata Neelofa yang dipetik Astro Awani.
Selain bergelar selebriti, Neelofa memulakan langkah sebagai usahawan dan membina empayar perniagaan melalui jenama tudung terkemuka, Naelofar Hijab.
Jenama yang dipasarkan di 37 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Brunei itu dilapor bakal meraih jualan sebanyak RM200 juta tahun ini.
Neelofa juga mempunyai reputasi sebagai ahli perniagaan wanita terkemuka di Malaysia dan antara segelintir rakyat Malaysia yang dinamakan oleh Forbes Asia dalam senarai usahawan muda pengubah '30 Under 30' (Kelompok 30 di bawah usia 30 tahun).
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata tidak perlu tua untuk menjadi seorang pengarah.
Sumber: Sinar Harian