Isu Tiket Selesai: KFA


ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) lega selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada berlakunya unsur rasuah yang membabitkan persatuan itu dalam penjualan tiket final Piala Malaysia, November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar berkata pihaknya bersyukur dengan laporan daripada sumber SPRM yang mengatakan siasatan mendapati tiada penyelewengan membabitkan KFA dalam penjualan tiket itu, sekali gus menolak dakwaan segelintir pihak sebelum ini.

"Kami lega dengan berita itu. Ia akan menjadi titik tolak untuk kami meningkatkan mutu penjualan dan pengagihan tiket dengan lebih baik melalui proses baharu bakal diperkenalkan musim depan.

"Kami anggap isu ini sudah selesai dan kami tidak lagi mahu dituduh gagal melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Jadi penting buat kami untuk memandang ke depan selepas ini dengan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku," katanya.

Menurut Shaharol, SPRM sudah menjalankan tugas mereka dengan cukup profesional dan KFA pula sentiasa memberikan kerjasama.

"Ini membuktikan KFA sentiasa meletakkan keutamaan dalam soal ketelusan semasa mengendalikan penjualan tiket."

Shaharol berkata, SPRM juga sudah mengadakan perjumpaan dengan pengurusan tertinggi KFA untuk berbincang mengenai penambahbaikan dalam usaha mengatasi segala kelemahan selepas mendapat maklumat dan dokumen diperlukan semasa siasatan dijalankan.

Katanya, SPRM juga akan memberikan khidmat rundingan berkonsepkan penerangan kepada KFA dalam masa terdekat.

Sumber: BH Online