BARU-BARU ini kecoh di media sosial mengenai pelakon, Izreen Azminda dikatakan sudah menikah dengan ahli muzik yang berstatus suami orang.
Perkhabaran itu menjadi bualan hangat apabila pelakon berkenaan memuat naik beberapa posting berbaur bahagia dan meletakkan status ‘Mrs Ude’ di laman instagram miliknya baru-baru ini.
Tidak lama kemudian, muncul pula berita mengenai isteri pertama kepada ahli muzik tersebut, Intan Liana tampil mendedahkan bahawa pasangan berkenaan sememangnya sudah berkahwin pada Ogos lalu.
Intan mengakui redha menerima Izreen sebagai madu dan luahan itu dilihat menerima pelbagai reaksi daripada netizen tempatan.
Susulan itu, pemuzik yang diperkatakan iaitu Mohd Radzi Abdul Wahid atau Ude akhirnya tampil memberi kenyataan balas berhubung hal ini.
Menurut Ude, dia mengaku telah menikahi Izreen dan memaklumkan Intan pula adalah isteri pertama yang juga merupakan ibu kepada dua anaknya, Arish Muqri berumur 3 tahun dan seorang lagi berusia 11 bulan.
“Saya berkahwin dengan Intan empat tahun lalu manakala dengan Izreen pada 8 Ogos lalu,” katanya memetik Harian Metro.
Bagaimanapun, Ude dikatakan enggan mengulas lanjut mengenai pernikahannya dengan pemilik nama sebenar Izreen Azminda Aznam.
“Saya akan buat majlis doa selamat minggu hadapan dan akan menjelaskannya nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Ude juga dilihat menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan rumah tangganya dengan Intan bergolak selepas mengahwini Izreen.
“Sebaik saja Intan tampil memberi kenyataan siang tadi (khamis), pelbagai spekulasi timbul.
“Saya mohon supaya hentikan sebarang kenyataan dan persepsi buruk yang boleh mempengaruhi emosi kedua-dua isteri saya.
“Harap pihak luar tidak campur tangan. Intan dan Izreen adalah isteri saya. Sebagai suami, beri saya peluang untuk menguruskan sendiri isteri dan keluarga saya,” katanya.
Sehubungan itu, Ude meminta agar semua pihak terutamanya media agar tidak mengganggu privacy keluarganya.
“Sebaiknya sebagai suami, biarlah sebarang kenyataan datang dari diri saya demi menjaga keharmonian rumah tangga kami,” ujarnya. –Kedahnews.com