Izreen Berang Gambar Tak Bertudung Bersama Suami Disebar


KUALA LUMPUR - Pelakon Izreen Azminda, 32, berang apabila fotonya tidak bertudung bersama suami, Muhammad Radzi Wahid atau Ude, 29, disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Gambar berkenaan pula kononnya dirakam sebelum pasangan terbabit berkahwin.

Izreen menerusi kiriman di Instragram berkata, yang menjadi persoalan adalah, ia foto peribadi yang disimpan di rumahnya. Justeru, pelakon itu menyifatkan ada pihak tidak bertanggungjawab menceroboh masuk ke kediamannya.

"Tersebar pula gambar peribadi di rumah bersama suami dengan keadaan saya yang tidak bertudung. Nama pun di rumah, takkan nak pakai jubah!

"Gambar itu disebar dengan memfitnah kononnya ia diambil sebelum kami berkahwin dan seorang daripada rakan kami yang datang ke rumah saya mengambil gambar itu secara senyap-senyap.

"Peliknya, tidak ada seorang pun kawan yang pernah menjejakkan kaki ke rumah kami," katanya.

Bagaimanapun, Izreen menyifatkan ada pihak mungkin membuat kunci pendua kerana ingin memasuki kediamannya untuk tujuan tidak baik ketika beliau dan suami tiada di rumah.

Aktres itu turut tertanya-tanya tujuan individu berkenaan menyebarkan gambar terbabit, selain menganggap ia sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Izreen turut berkata, beliau akan mengambil tindakan terhadap individu yang membuka akaun palsu Instagram, seterusnya memuatnaik foto terbabit kerana menjatuhkan maruahnya.

Menerusi entri sama, Izreen turut meluahkan rasa kesal apabila ada saja pihak yang cuba membangkitkan isu untuk terus memanaskan keadaan.

"Sudah lama saya diamkan diri sejak isu pernikahan saya diperdebatkan. Diam tidak bererti salah dan takut. Cuma memberi ruang untuk semua pihak yang terbabit memperbaiki keadaan supaya kembali tenang tanpa membuka aib sesiapa.

"Tetapi rupanya tidak sama sekali seperti yang disangkakan! Malah bertambah teruk.

"Sekarang bukan soal 'kalau tak salah takkan melenting'. Yang buat melenting ini sebab gambar itu adalah gambar peribadi bersama suami! Kalau isteri nombor dua sekalipun, apa salahnya nak bergambar romantik?

"Awak yang gigih sendiri cari gambar itu. Awak nak letakkan salah kat sini pulak! Busuk punya manusia!" luahnya.

Sumber: BH Online