Jangan Percaya Fitnah Jahat Pihak Tinggal "Nyawa Ikan" Itu - PAS


ALOR SETAR - PAS menggesa pihak tertentu yang cuba mencetus persepsi buruk terhadap Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor supaya segera menghentikan perbuatan fitnah tidak bermaruah dan berdosa besar itu.

Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, fitnah tersebut hanyalah dilakukan oleh mereka yang terlalu terdesak bagi menyambung survival politik yang disifatkan "tinggal nyawa-nyawa ikan".

"Ingin saya tegaskan bahawa berita itu hanya fitnah jahat golongan terdesak untuk menyambung nyawa-nyawa ikan sebelum PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14).

"Di sini, saya ingin mengingatkan semua dengan amaran Rasulullah: "Fitnah adalah sesuatu yang sedang tidur, Allah melaknat siapa yang mengejutnya."

"Kepada semua ahli dan pimpinan PAS, kita perlu bersedia menghadapi gelombang fitnah yang dipercayai akan lebih dahsyat menjelang PRU14 nanti," tegas beliau, memetik laporan lidah rasmi PAS, Harakahdaily, hari ini.

Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa beliau telah bertemu dengan pemimpin PAS Selangor yang menjadi mangsa fitnah dan ternyata apa yang ditohmah itu adalah tidak benar sama sekali.

Pihak tertentu sebelum ini yang berkemungkinan besar "cybertroopers" Pakatan Harapan telah menyebarkan propaganda kononnya beberapa Adun PAS di Selangor akan "melompat parti" sehingga menimbulkan persepsi buruk terhadap mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hasan Tantawi pula dalam kenyataannya menegaskan bahawa fitnah merupakan senjata paling ampuh di zaman digital ini bagi memusnahkan karektor seseorang, khususnya ahli politik.

Menyifatkan ia sebagai "fitnah mutawatir", beliau mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mudah dipengaruhi atau terjebak dengan bahaya fitnah, sebaliknya memilih untuk bertabayyun bagi setiap maklumat yang diterima.

"Senjata paling murah dan mudah tapi sangat berkesan untuk membunuh karektor seseorang, terutama pada zaman digital hari ini ialah fitnah.

"Fitnah dikarya dengan penuh licik dan teliti sehingga sukar dibezakan antara fitnah dan kebenaran. Fakta separa masak diolah dengan cermat, susunan plot fitnahnya rapi sekira-kira boleh melepasi scanner kebenaran.

"Akhirnya masyarakat mati hidup percayakan fitnah tersebut. Meskipun penafian diulang siar, tiada siapa yang mahu peduli dan mempercayai penafian tersebut lantaran fitnah itu lebih meyakinkan malah bertaraf “mutawaatir”.

"Pengamal dan penyebar tegar fitnah ini tidak akan berjaya di dunia dan akhirat. Justeru itu, anggota jamaah Islam jangan sekali-kali pernah terjebak dalam kancah penyebaran fitnah, apatah lagi mencipta fitnah.

"Amalkan konsep tabayun sebelum sebar sebarang maklumat," tegasnya. - Kedahnews.com