KUALA LUMPUR - Jangan persoal siapa calon yang dipilih oleh UMNO dan lupakan sementara soal pemilihan parti jika mahu Barisan Nasional/UMNO menang besar pada Pililhan Raya Umum (PRU14) ini.
Itu antara mesej penting yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak kepada lebih 5,000 para perwakilan UMNO pada Majlis Taklimat Presiden menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini petang ini
Mesej Presiden UMNO itu mendapat respons yang positif para perwakilan kerana mereka menyedari PRU14 adalah yang cukup getir. Ini kerana UMNO/BN bukan sahaja berdepan dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP tetapi juga menghadapi bekas pemimpin UMNO yang mahu melenyapkan parti keramat orang Melayu hanya untuk kepentingan diri, keluarga dan kroninya.
BN telah membuat persiapan paling rapi untuk menghadapi pada PRU14 berbanding PRU sebelum ini.
Ahli UMNO diingatkan tidak mempertikaikan calon yang telah dipilih oleh parti kerana perkara yang utama iaitu mepertahankan BN dengan kemenangan majoriti dua pertiga.
UMNO tidak mahu pertikaian tentang calon yang dipilih akan menjelaskan persiapan rapi yang telah dilaksanakan.
Menurut perwakilan, Presiden UMNO juga mahu sebarang fitnah yang dicipta pembangkang hendaklah ditangkis serta merta bagi meyakinkan pengundi bahawa kerajaan berada di pihak yang benar.
Ini termasuk laporan siasatan diraja (RCI) tentang kerugian RM31.5 bilion akibat tukaran mata wang asing (Forex) pada zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah satu bukti yang perlu diperjelaskan.
Semalam, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu seluruh anggota UMNO bersedia dengan serangan luar jangka saat akhir daripada pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Zahid mengingatkan perkara itu kerana beliau tidak mahu parti 'terperangkap' sekali lagi seperti yang berlaku pada PRU sebelum ini yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) terpaksa menjawab isu bekalan elektrik terputus dan membawa masuk warga Bangladesh sebagai pengundi hantu. - Kedahnews.com