Jangan Serang Saya Berkenaan Isu Poligami Izreen - Rita Rudaini


KUALA LUMPUR - Pelakon Rita Rudaini memohon agar dia tidak terus dipersalahkan dalam ‘episod’ poligami yang sedang dilalui oleh rakannya, dramatis Izreen Azminda.

Menurut Rita, walaupun sebagai kawan, dia tidak ada hak untuk campur tangan dalam urusan peribadi Izreen yang telahpun menjadi isteri kedua kepada seorang pemuzik.

“Tolong jangan terus menyerang saya di laman sosial kerana perkahwinan dia.

“Saya tidak masuk campur dalam keputusan Izreen yang memilih jalan untuk berkahwin dengan suami orang.

“Cuma sebagai kawan, kami hormati hak peribadi Izreen dan mendoakan dia bahagia dan dapat membantu suaminya berlaku adil dalam kehidupan berpoligami,” kata aktress jelita itu.

Kelmarin, Izreen Azminda memberitahu yang dia telah pun bernikah secara sah dengan Mohammad Radzi Abdul Wahid yang mesra dipanggil Ude, pada 8 Ogos lalu di Kota Damansara, Kuala Lumpur.

Selepas berita Izreen berkahwin dengan suami orang tersebar, Rita turut menjadi mangsa kemarahan netizen di laman sosial.

Dia dikecam dan dipersalahkan tanpa sebab munasabah kerana dianggap sebagai ‘penyokong’ tegar dalam keputusan dibuat Izreen menjadi isteri kedua pemuzik tersebut.

Menurut Rita, dia sendiri sudah memberikan nasihat terbaik buat Izreen sebelum ini agar tidak dilihat sebagai penganggu rumah tangga orang lain.

“Saya pun ada beri nasihat, jangan merampas hak orang lain. Tetapi dalam keadaan sekarang Izreen bermadu, dia tidak merampas suami orang.

“Jika dia dapat menjalani tanggungjawab sebagai isteri dengan baik, kita sendiri tidak perlulah mengutuk atau menghamun beliau kerana itu adalah jodoh yang telah tersurat buat dirinya.

“Sebagai kawan saya harap Izreen dapat melalui episod bermadu dengan tabah dan dapat menjaga hati isteri pertama dengan sebaik mungkin dan sentiasa mementingkan perasaan orang lain.

“Saya percaya kehidupan bermadu banyak masalah, tetapi ia akan jadi manis kalau kita pandai kendalikan dengan baik,” katanya.

Sumber: Utusan Online