PUTRAJAYA - Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berhati-hati berhubung kes penipuan panggilan telefon yang mendakwa sebagai wakil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Dalam kenyataan hari ini, JKDM berkata sindiket penipuan yang dipercayai dilakukan oleh warga tempatan dan rakyat asing itu menelefon secara rambang orang awam serta mendakwa mereka sebagai wakil Jabatan Kastam.
"Kami menerima banyak laporan berkaitan kes ini dan mereka biasanya akan menggunakan talian 1300 735 798 atau 4640 9078 dan nombor lain yang tidak berkaitan dengan JKDM," menurut kenyataan itu.
Mangsa kemudiannya dimaklumkan telah dikenakan sejumlah penalti oleh JKDM dan diberi amaran bahawa tindakan akan diambil sekiranya tidak menjelaskan bayaran penalti tersebut, mengakibatkan mangsa kerugian berjumlah ribuan ringgit kerana tertipu.
Kenyataan itu turut menyebut orang ramai dinasihatkan supaya terus mengabaikan panggilan tersebut jika tidak mempunyai urusan dengan pihak kastam dan tidak mendedahkan apa-apa maklumat peribadi kepada pemanggil.
"Orang ramai juga dinasihatkan tidak menghubungi semula nombor telefon yang diberikan sebaliknya membuat semakan dan pertanyaan lanjut dengan JKDM melalui talian yang betul," katanya.
Orang ramai boleh menghubungi, Pusat Panggilan Kastam di saluran berikut: 1300 888 500 (Pertanyaan Umum), 1800 888 855 (Aduan Penyeludupan), 03 8882 2100 (Ibu Pejabat, Putrajaya) atau ccc@customs.gov.myaduan@customs.gov.my. - Bernama