BIARPUN kemampuan vokalnya pernah dipertikai sebelum ini, Janna Nick tidak menjadikan ia sebagai satu halangan untuknya terus melangkah dalam bidang nyanyian.
Malah, dia yang sebelum ini membuat debut menerusi lagu Mungkin Saja, kini tampil dengan single keduanya, Akan Bercinta, sebuah lagu ciptaan Aepul Drama Band yang baru sahaja dilancarkan Rabu lalu.
Janna yang tidak kisah dengan kritikan ini mahu membuktikan kesungguhannya dalam bidang nyanyian dengan memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan yang ada dalam nyanyiannya sebelum ini.
“Kalau nak ikut cakap orang yang mempertikaikan itu dan ini tentang nyanyian saya sebelum ini, mungkin saya hanya akan berada di tempat yang sama sahaja selama-lamanya.
“Saya seorang yang cukup positif dan disebabkan itu saya lebih cenderung untuk ikut apa dimahukan oleh mereka yang menyokong dan menerima saya berbanding mereka yang suka mengkritik dan mencari kesalahan saya.
“Untuk single kedua ini, saya berusaha memberikan yang terbaik supaya orang yang pernah mempertikaikan kemampuan saya sebelum ini dapat menerima lagu ini menerusi pelbagai penambahbaikan yang dilakukan,” katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran single Akan Bercinta.
Biarpun begitu, heroin drama Coffee Prince ini memberitahu dia tidak pernah terfikir untuk melakukan sebarang gimik mahupun mencipta kontroversi semata-mata mahu mempromosikan hasil kerjanya, baik untuk drama mahupun lagu nyanyiannya.
“Saya tidak terarah kepada strategi promosi yang sebegitu kerana semenjak dari awal lagi saya telah diajar untuk yakin dengan prestasi dan kualiti produk yang telah dihasilkan.
“Dari single pertama lagi, saya tidak pernah menggunakan pendekatan menularkan sesuatu untuk tujuan publisiti kerana saya tak biasa dengan benda-benda seperti itu, sebaliknya lebih memberikan perhatian kepada kualiti kerja saya ini.
“Bagi saya, kalau kita dah buat yang terbaik, sesuatu hasil kerja itu secara tidak langsung akan jadi ‘demand’ kepada mereka yang di luar sana dan begitulah sebaliknya,” ujarnya.
Menyifatkan dirinya bertuah dapat bekerjasama dengan seorang komposer yang memiliki pendirian yang sama, Janna juga yakin peminatnya hanya mahukan kualiti berbanding perkara lain yang tidak perlu.
“Sebenarnya bukan senang nak siapkan lagu kedua ini kerana ketika proses rakaman berlangsung keadaan kesihatan saya tidak begitu baik, malah ditahan di hospital kerana demam dan batuk.
“Proses rakaman terpaksa dilakukan beberapa kali untuk mendapatkan suara sebenar saya, selain mahu memastikan hasilnya benar-benar mencapai kualiti yang kami mahukan.
“Mungkin lagu pertama dulu banyak kekurangan kerana itu adalah percubaan pertama, jadi saya banyak belajar daripada pengalaman itu menjadi single kedua ini dihasilkan dengan penuh ketelitian,” katanya yang berhasrat untuk tampil dengan lebih banyak lagu selepas ini.
Jadual padat hingga tahun depan
Dalam pada itu, Janna turut berkongsi tentang sambutan hangat yang diterima muzik video Akan Bercinta yang berjaya meraih 300,000 tontonan dalam masa kurang empat hari ia dilancarkan di saluran YouTube.
Ia seperti petanda awal kepada kejayaan single keduanya yang telah lama dinantikan peminatnya di luar sana.
“Saya langsung tidak menyangka muzik video yang menjalani penggambaran di Rome, Itali ini berjaya meraih perhatian peminat sebegitu rupa.
“Rasa sangat berbaloi dengan segala usaha keras dan pengorbanan yang dilakukan sepanjang penghasilan muzik video ini, apatah lagi ia merupakan percubaan pertama saya sebagai pengarah.
“Jujurnya saya tidak pernah meletakkan sebarang target kepada jumlah tontonan muzik video ini, kerana apa yang lebih penting buat saya adalah untuk melihat komen-komen positif daripada mereka yang menonton.
“Apalah ertinya jumlah tontonan juta-juta, tetapi mendapat banyak kritikan dan komen-komen negatif,” ujarnya.
Berkongsi tentang pengalaman barunya dalam bidang pengarahan yang pertama kali menjadi pertaruhannya, Janna mengharapkan agar dirinya memperoleh lebih peluang selepas ini.
“Sebenarnya saya memang sudah lama berminat dengan kerja-kerja belakang tabir terutamanya dalam bidang pengarahan, cuma hanya kali ini saya ada keberanian untuk mencuba kerana muzik video ini diterbitkan oleh saya sendiri.
“Alhamdulillah walaupun masih baru dan kurang pengalaman, saya cukup berpuas hati dengan hasilnya kerana apa yang saya inginkan dapat divisualkan dengan begitu baik dalam muzik video ini,” katanya yang mengambil masa selama dua hari untuk proses penggambaran.
Tidak mahu minatnya dalam bidang pengarahan terhenti setakat itu sahaja, Janna berhasrat untuk mendalami ilmu dalam bidang ini dan seterusnya tampil dengan lebih banyak lagi produk selepas ini.
“Kalau boleh, bukan hanya arahkan muzik video sendiri tetapi saya juga mahu buat muzik video untuk penyanyi lain juga, malah kalau ada rezeki dan peluang, mungkin boleh arahkan drama pula.
“Namun perjalanan saya masih lagi jauh dan banyak benda yang perlu saya lakukan untuk mempersiapkan diri ke arah itu kerana ia bukan sesuatu yang mudah seperti yang kita fikirkan.
“Buat masa ini, saya cuba belajar ketika berada di set dengan rakan-rakan produksi yang sudi nak ajar saya selain pemerhatian sendiri yang saya lakukan untuk tujuan itu,” akui Janna lagi.
Selain sibuk mempromosikan single terbaru ini, Janna juga ligat di lokasi penggambaran drama terbaru lakonannya bersama JS Pictures, Isteri Untuk Diiktiraf yang bakal disiarkan sempena Ramadan akan datang.
Terkini, drama lakonannya yang menyaksikan gandingan bersama Fattah Amin, Coffee Prince juga sedang hangat disiarkan di kaca TV.
“Kalau ikutkan jadual kerja saya sekarang sangat padat dengan pelbagai aktiviti sehingga tahun depan.
“Nak rakam lagu pun kena pandai curi-curi masa yang ada dalam jadual kerana kalau nak tunggu saya betul-betul lapang, memang tidak tahu bila.
“Apa pun saya bersyukur dengan rezeki yang ada dan peluang kerja berterusan yang diberikan kepada saya dari dulu sehinggalah sekarang,” katanya.
Sumber: Sinar Harian