Janna Tak Perlu Gimik Nak Promosi Produk


KUALA LUMPUR - Pelakon dan penyanyi, Janna Nick, menegaskan dirinya tidak memerlukan gimik atau mereka cerita supaya viral demi mempromosikan lagu atau hasil lakonannya dengan lebih meluas.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 22, berkata sejak awal pembabitannya dalam dunia seni, dia sudah diajar untuk yakin terhadap prestasi dan kualiti kerja berbanding mengejar populariti kosong.

"Saya tidak memerlukan gimik sebagai strategi promosi produk. Kalau kita hasilkan sesuatu yang baik, ia akan menjadi permintaan ramai. Cukuplah dengan prestasi yang ada.

"Lagipun, saya tak biasakan gunakan kuasa viral untuk popular. Jika nak, sudah tentu dari dulu saya reka cerita cinta atau macam-macam lagi semata-mata untuk menaikkan nama.

"Saya juga yakin peminat saya, terutama di laman sosial, adalah tulen. Mereka suka mengikuti drama saya dan nak kenal siapa sebenarnya Janna Nick. Jadi, tidak perlu untuk mencipta sesuatu yang tak betul," katanya pada pelancaran single keduanya, Akan Bercinta.


Akan Bercinta yang juga ciptaan sepenuhnya Aepul Roza ialah lagu tema drama My Coffee Prince dan sejak dimuat naik ke laman YouTube pada 1 Disember lalu, video muzik lagu itu sudah ditonton hampir 400,000 kali.

Menariknya, akui tunjang utama drama adaptasi arahan Michael Ang itu, video yang menjalani penggambaran di Itali digarap sepenuhnya oleh Janna sendiri bermula dengan idea, terbitan mahu pun arahan.

"Inilah arahan pertama saya, sekali gus percubaan untuk memulakan langkah di arena pengarahan. Saya turut menghasilkan papan ceritanya sendiri, tetapi terpaksa lakar orang lidi kerana saya tak pandai melukis.

"Lucu hingga ada yang mengetawakan saya. Apa pun, walau mengejar waktu kerana pada masa sama kami juga merakamkan video muzik untuk single duet bersama Alvin Chong, sokongan semua kru dan rombongan membuatkan kami semua berpuas hati dengan hasilnya," katanya.

Sumber: BH Online