Jemaah Umrah Dari Kuala Nerang Meninggal Selepas 19 Hari Sakit Di Mekah


KUALA NERANG - Seorang jemaah umrah, Mangsor Shaari, 64, meninggal dunia di Tanah Suci selepas 19 hari terlantar sakit dan dirawat di Hospital King Faisal, Mekah.

Allahyarham dikhabarkan meninggal dunia pada petang Khamis ketika sedang mendapatkan rawatan akibat sakit kencing manis di hospital itu.

Malam tadi, suasana pilu menyelubungi kediaman Allahyarham di Kampung Bukit Larek di sini.

Berita mengenai ketiadaan Allahyarham disampaikan oleh salah seorang jururawat yang bertugas di hospital itu sebelum disahkan oleh pihak kedutaan.

Anak keenam Allahyarham, Nor Nazirah Mangsor, 28, berkata mereka sekeluarga redha dengan ketentuan Allah.

Namun katanya, jika direnungkan semula, terpalit rasa sebak dan terkilan kerana tiada di sana ketika Allahyarham sedang nazak.

“Nak harapkan kami, kami jauh, macam mana kami nak tolong ayah. Kalau kami boleh ke sana, kami sudah pergi dah,” katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Nor Nazirah, abang sulungnya, Khairul Azhar, 43, dijadual akan berlepas ke Mekah pada 17 Dis ini bagi mengambil barang peribadi milik Allahyarham selepas kos keseluruhan ditanggung sepenuhnya oleh sebuah agensi pengelola umrah.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Bukit Larek, Jalan Kuala Nerang, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama isterinya, Che Mah Kushi Mohamed, 60, pada 17 Nov lalu.

Allahyarham dikhabarkan mula mengalami demam dan muntah pada hari ketiga di sana.

Pada 25 Nov, Allahyarham dikejarkan ke hospital kerana badannya terlalu lemah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Jenazah dijangka akan dikebumikan kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan.

Sumber: Astro Awani