Jenazah Khairul Selamat Dikebumikan di Felda Teloi Timur, Sik


SIK - Jenazah pekerja kontrak, Mohd Khairul Azhar Mat Arik, 29, yang terjatuh ketika sedang menjalankan kerja di kawasan Pangkalan Kargo Perai, Pulau Pinang Khamis lepas selamat dikebumikan di Teloi Timur, Sik 11.30 malam tadi.

Mayat Allahyarham ditemui 1.44 tengah hari kelmarin selepas 48 jam operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan.

Menurut ADUN Jeneri , Mahadzir Abdul Hamid, sebaik selesai bedah siasat jam 9 malam di Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang, jenazah dimandi dan dikafankan oleh petugas briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) dan terus dibawa pulang ke kampung Allahyarham di Felda Teloi Timur.

"Saya telah menggerakkan pasukan terbabit bagi membantu setiap perkara yang berkaitan sehingga semua urusan selesai," katanya kepada Kedahnews.com. 

Allahyarham Khairul meninggalkan seorang balu dan seorag anak berusia sekitar tiga tahun.

" Semoga keluarga mangsa tabah, sabar, redha dan bertenang dengan ujian ini, " kata Mahadzir yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Kedah yang turut menggerakkan skuad sukarelawan dan penyelamat termasuk Bomba Sukerela di kawasan Parlimen Sik. - Kedahnews.com.