Jerebu Paksa Sekolah Seluruh Tehran Ditutup


TEHRAN - Sekolah di ibu kota Iran ditutup untuk empat hari berturut-turut hari ini apabila pencemaran udara bahaya menyelubungi bandar raya itu dan sekatan trafik gagal membersihkan kabut tebal.

Purata kepekatan zarah paling bahaya, PM2.5, adalah amat tidak sihat pada 160 mikrogram satu meter padu, lebih teruk berbanding kelmarin, kata pihak berkuasa.

Ia adalah enam kali lebih tinggi berbanding apa yang dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu maksimum 25 mikrogram bagi tiga meter padu pada tempoh 24 jam.

Pihak berkuasa melanjutkan sekatan trafik yang membenarkan cuma satu dalam dua kereta berada di jalan raya, bergantung kepada nombor pendaftaran.

Hari Rabu adalah hari terakhir minggu persekolahan di Tehran dan pihak berkuasa belum memaklumkan sama ada ia akan dibuka semula Sabtu ini.

Pencemaran berlaku di sekurang-kurangnya empat bandar raya utama iaitu Esfahan di tengah negara itu, Orumiyeh dan Tabriz di barat laut dan Mashhad di timur laut.

Sekolah ditutup pada Rabu di seluruh bandar raya berkenaan kecuali Mashhad, lapor laman web stesen penyiar.

Ambulans juga ditempatkan di jalan raya untuk menghadapi kemungkinan sebarang kecemasan. - AFP