JPJ Kedah Kawal Kenderaan Tak Patuhi ICP Lebih Efisien


ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah berjaya mengawal pergerakan kenderaan asing yang tidak mematuhi Permit Edaran Antarabangsa (ICP) dengan lebih efisien sejak pembukaan operasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baharu.

Pengarahnya, Isma Suhaimi Sharif berkata ia disebabkan kedudukan strategik di ICQS berkenaan yang membolehkan pihaknya memantau dan mengawal kenderaan asing keluar masuk di pintu sempadan negara itu tanpa sebarang masalah ataupun halangan.

“Walaupun ICQS baharu tersebut baru saja mula beroperasi pada 1 Nov lalu, ia menunjukkan perkembangan positif apabila penguatkuasaan terhadap aliran keluar masuk kenderaan asing di kawasan tersebut dapat dikawal rapi.

Kawalan yang dijalankan ini dapat memudahkan kita memantau kenderaan asing seperti trak pikap dan van Siam dengan lebih mudah. Ini sekali gus dapat menghalang kenderaan asing melakukan kesalahan jalan raya dan penyalahgunaan ICP,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran JPJ Kedah bersama pengeluar bateri kenderaan, KOYOKO MP Sdn Bhd di sini hari ini.

ICQS Bukit Kayu Hitam yang akan dibuka sepenuhnya 24 jam bermula 1 Jan 2019 turut meliputi Kompleks Kenderaan Ringan (KKR) dan Kompleks Kenderaan Berat (KKB) yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan aplikasi penguatkuasaan seperti mesin pengimbas kargo, jambatan timbang, pusat kuarantin haiwan dan tanaman.

Tahun ini, sehingga 30 Nov lalu, sebanyak 33,985 kenderaan asing pelbagai jenis telah memohon permit ICP di mana kereta mencatat jumlah tertinggi iaitu 12,104 diikuti kenderaan pikap sebanyak 9,748.

Permohonan permit ICP untuk van pula dicatatkan sebanyak 4,619, jip dan 4×4 (3,649), motosikal (2,709) dan 1,156 bagi kenderaan lain.

Sebelum ini, Jabatan Imigresen Kedah menganggarkan jumlah mereka yang menggunakan laluan keluar masuk di ICQS berkenaan mampu mencecah 3.2 juta sehingga hujung Disember.

Dalam perkembangan lain, Isma Suhaimi berkata 60 peratus daripada kadar kemalangan maut di seluruh negara tahun ini melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal yang berpunca atas faktor kecuaian, sikap mementingkan diri dan tidak menggunakan jalan raya dengan berhemah, serta kenderaan tidak diselenggara dengan baik.

Sehubungan itu pihaknya bersama syarikat KOYOKO MP Sdn Bhd bekerjasama menganjurkan kempen keselamatan jalan raya bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya untuk mengelak kemalangan, katanya. -BERNAMA