SHAH ALAM - Kes penjualan atau pemerdagangan bayi secara atas talian bukan perkara baharu, kerana kebanyakan kes dilakukan secara bersembunyi.
Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, bagaimanapun ia menjadi berita tergempar hanya kerana tularnya status penjualan bayi dimuat naik di laman beli-belah online, baru-baru ini.
“Kes penjualan bayi bukan trend, banyak dah berlaku, tetapi dilakukan secara sembunyi-sembunyi melalui media sosial seperti di aplikasi WhatsApp.
“Sudah tentu apabila melibatkan urusan ‘penyerahan’ anak, ada kos perlu ditanggung seperti bayaran bil hospital dan sedikit wang ihsan kepada keluarga terbabit. Cuma ia tidak didedahkan, hanya cakap-cakap mulut sahaja,” katanya.
Kamal Affendi tidak menafikan, ada pihak tertentu bertindak sebagai broker kes penjualan bayi.
Dalam kes cubaan jual bayi kembar yang tular itu, Kamal Affendi berkata, menyedihkan kerana masyarakat tidak bersimpati nasib bayi berkenaan.
“Mereka sebaliknya mempersoalkan status kesihatan bayi tersebut, sedangkan bayi itu telah menjadi barang dagangan.
“Ada pula mempunyai maklumat penjualan bayi, tetapi dibiarkan berlegar di bawah radar tanpa lapor kepada pihak berkuasa. Jadi, apa bezanya mereka dan si ibu yang mahu jual bayi sendiri?," soalnya.
Menurutnya, seseorang individu boleh bertindak di luar batasan norma manusia kerana keadaan dirinya dan orang sekeliling.
“Dia mungkin tidak punya banyak pilihan. Daripada dia letak bayi dalam kotak dan buang, lebih baik dijual. Jalan ini dirasakan lebih ‘terhormat’,” katanya.
Beliau berharap, isu itu buka mata masyarakat agar tidak berpeluk tubuh, sebaliknya tampil laporkan kepada pihak berkuasa.
Sebelum ini, polis mengesahkan sepasang kekasih ditahan selepas cuba jual bayi kembar mereka secara online pada harga RM15,000
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, bayi kembar itu diserah ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Online