KAFA Terima Tajaan RM2 Juta


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) sudah menerima tajaan sebanyak RM2 juta daripada syarikat tempatan serta rakan kongsi yang dimeterai perjanjiannya, semalam.

Bagaimanapun, badan induk bolasepak negeri itu mendedahkan mereka memerlukan peruntukan tajaan sekurang-kurangnya RM10 juta bagi memperkasakan pasukan gergasi Pantai Timur itu untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata setakat ini badan induk itu sudah menerima tajaan berbentuk kewangan, jersi dan logistik yang menjadi perkara asas buat setiap pasukan yang bertanding.

Katanya, tajaan berkenaan membabitkan syarikat perlancongan, Al-Quds Umrah & Travel; syarikat pakaian sukan, Al-Ikhsan serta rakan kongsi antaranya Excel Printing, Exa Supply & Services, Klinik Mesra dan Pakaq Gom Gym.

“Setakat ini, tajaan diperoleh membabitkan perkara yang membantu pasukan seperti penajaan pakaian pasukan, logistik dan penginapan.

“Tajaan ini dapat membantu mengurangkan perbelanjaan KAFA dalam menempuh saingan liga pada musim depan,” katanya selepas menandatangani tajaan bersama beberapa syarikat serta rakan kongsi di Hotel Jewel, semalam.

Hadir Pengurus Besar Al-Quds Travel & Umrah, Iskandar Hassan dan Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani Ilias Khan memberi bayangan dua syarikat gergasi bakal dibawa masuk untuk menjadi penaja utama Kelantan bagi musim hadapan.

“Kita sedang berunding dan hampir mencapai kesepakatan bersama dua syarikat gergasi dalam bidang automotif dan kewangan. Insya-Allah bila tiba masanya kita akan umumkan semula.”

Mengulas mengenai tajaan dua syarikat Jepun, Bibi berkata pihaknya sedang berunding dan hampir mencapai 80 peratus persetujuan.

“Bagi tajaan Yakult dan Rohm-Wako rundingannya sudah mencapai 80 peratus dan pihak mereka meminta tarikh sehingga 10 Disember ini untuk memuktamadkan perjanjian tajaan mereka kepada kita,” katanya.

Sumber: MyMetro