KUALA LUMPUR - Seorang kakitangan awam dari Kedah, Tasnim Radzi, memerlukan bantuan lebih RM1 juta bagi menampung kos perubatan bapanya, Mohd Radzi Abd Hadi, yang kena serangan jantung ketika bercuti bersama keluarganya di Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat.
Menurut catatan Tasnim yang dikongsikan menerusi laman sesawang kutipan dana 'go fund me', serangan jantung itu berlaku pada 9 Disember lalu ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Santa Monica ke Arizona.
Katanya, ketika kejadian, bapanya segera dikejarkan ke hospital berdekatan iaitu di Hospital Dignity Health California bagi mendapatkan rawatan.
"Kami sekeluarga tiba di lapangan terbang Los Angeles pada 8 Disember untuk berjumpa kakak dan suaminya yang juga seorang pelajar di Universiti, Arizona.
"Pada awalnya bapa berada dalam keadaan baik, kami sekeluarga juga sempat berkunjung ke beberapa tempat sekitar Los Angeles sebelum kejadian.
"Bapa yang sedang tidur di dalam kereta pada ketika itu secara tiba-tiba sesak nafas. Sebaik beliau dikejarkan ke hospital, doktor memberitahu jantungnya terhenti seketika namun sempat diselamatkan dan koma selama tiga hari," katanya.
Tasnim juga berkata selepas lima hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), bapanya pulih, dibenarkan keluar dan kini tinggal di rumah kakaknya.
"Atas nasihat doktor, bapa perlu berehat dan tidak dibenarkan ke mana-mana hingga minggu pertama Januari kerana keadaannya yang masih lemah.
"Ketika ini bil hospital sudah mencecah AS$196,062.02 (RM800,000) dan ini tidak termasuk bil lain yang akan diterima secara berasingan," katanya.
Justeru pihaknya memerlukan dana kira-kira RM1 juta bagi menjelaskan bil perubatan bapanya.
"Kami mempunyai insurans perjalanan namun ia tidak mampu untuk membiayai kos keseluruhan yang terlalu mahal ini.
"Jadi saya merayu kepada orang ramai untuk menghulurkan bantuan bagi menjelaskan bil hospital. Buat masa ini kami terpaksa membayar dulu kos terbabit sebelum mendapat tuntutan dari pihak insurans," katanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh salurkan kepada akaun bank Islam 12122020088470 milik Tasnim Mohd Radzi atau akaun Maybank Abdul Rahimi Abdul Rahman 162487109218.
Maklumat lanjut kejadian dan butiran sumbangan boleh diakses menerusi laman sesawang www.gofundme.com/urgent-md-radzi-heart-failure-fund
Sumber: BH Online