Kanak-Kanak Nyaris Maut Tercekik Syiling 50 Sen


BARU-BARU ini tular di laman sosial mengenai seorang kanak-kanak nyaris maut akibat tertelan duit syiling 50 sen.

Cerita tersebut telah dikongsikan oleh seorang pengguna laman Facebook yang dikenali sebagai Arwina Mohammed.

Menurut Arwina, dia didatangi anak saudaranya yang berusia 2 tahun semasa sedang beristirehat di ruang tamu.

Keadaannya sangat mengejutkan Arwina apabila kanak-kanak tersebut menyapanya dengan mulut yang sudah ternganga dan mata yang berair menahan kesakitan.

Risau dengan keadaan itu, Arwina memanggil ibu kanak-kanak tersebut dan segera memeriksa keadaannya.

“Apabila diperiksa betul-betul rupanya anak ini sedang berperang menahan sakit kerana tersangkut duit syiling dalam tekak,” tulis Arwina di laman Facebook.

Mujur Arwina dan ibu kanak-kanak itu cepat bertindak dan akhirnya berjaya mengeluarkan ketulan syiling 50 sen tersebut selepas tiga kali percubaan.

Kata Arwina, dia terpaksa memasukkan tangannya ke dalam mulut kanak-kanak berkenaan dan mengorek tekaknya bagi mengeluarkan syiling tersebut.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah! Percubaan yang ke-3 berjaya. Untuk pengetahuan, anak ini tadi mukanya sudah biru dan tidak bernafas,” tulisnya lagi.

Tambahnya lagi, kanak-kanak tersebut perlu didirikan secara terbalik bagi mengelakkan syiling tersebut terus masuk ke dalam perut.

Dalam pada itu, Arwina mengingatkan jika ada individu yang berdepan dengan keadaan sebegini, mereka seharusnya tidak panik dan berusaha serta berdoa diberikan kemudahan penyelesaian.

Walaupun berjaya mengeluarkan syiling itu daripada tenggorok si kecil, tetapi ibu bapa dan penjaga sepatutnya mendapatkan bantuan daripada pihak hospital atau klinik dengan segera kerana hanya mereka mempunyai kepakaran untuk menangani masalah seperti ini.

Bahkan, mereka juga sudah semestinya mengikut prosedur keselamatan dan rawatan yang betul agar tidak memudaratkan kanak-kanak tersebut. - Kedahnews.com