SHAH ALAM - Kebakaran besar yang berlaku di California, Amerika Syarikat disifatkan seolah-olah neraka dunia oleh netizen.
Tinjauan Sinar Online kepada reaksi netizen terhadap kebakaran tersebut mendapati kebanyakannya berpendapat musibah yang menimpa rakyat California kini adalah natijah daripada keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Pengguna Facebook, Natasha Nabila Husein yang menyifatkan api yang menjilat tanah California bagai neraka dunia, selain turut mengecam tindakan Trump.
“Heretlah api kebakaran yang umpama neraka dunia ke rumah Trump serta tujuh keturunannya dan konco-konco Yahudi yang anti Islam,” katanya seperti yang dipetik menerusi Facebook, hari ini.
Setakat ini, kebakaran yang telah memusnahkan lebih 57,870 hektar kawasan dan 476 struktur di negara tersebut.
Selain menyebabkan perpindahan skala besar melibatkan lebih 200,000 penduduk, kebakaran tersebut juga turut mengorbankan nyawa puluhan mangsa.
Manakala Muhd Abdul Halim berpendapat, semua yang berlaku adalah akibat daripada perbuatan Trump yang mengambil hak rakyat Palestin.
“Telah ALLAH tunjukkan kekuasaanNya kepada Trump, beliau ambil hak rakyat Palestin, ALLAH mengambil hak beliau sebagai balasan setimpal.
“Alhamdulillah,semoga api terus marak membakar seluruh AS, biar mereka merasa takut dan sedih seperti mana kesedihan orang Islam Palestin rasai. Allahuakhbar,” katanya dipetik menerusi ruang media sama.
Sementara itu, seorang lagi netizen Azizi Ismail melahirkan simpati atas nasib penduduk yang terlibat dengan bencana tersebut.
“Kasihan warga Amerika, kerana sikap dan sifat anti Islam Trump, mereka yang menanggung azab dan derita,” ujarnya.
Dalam pada itu, anggota bomba di California Selatan berhadapan tekanan mengawal enam kebakaran hutan, yang sudah memusnahkan ratusan bangunan dan memaksa puluhan ribu penduduk berpindah.
Jabatan kaji cuaca meramalkan angin semakin kencang menjelang malam ini sekali gus menjadikannya lebih mencabar kepada 8,700 anggota bomba yang sudah bergelut mengawal kebakaran dari San Diego ke Pantai Pasifik di Santa Barbara, sejak lima hari lalu.
Kebakaran meragut sekurang-kurangnya satu nyawa, memusnahkan 500 struktur, mencederakan 10 orang termasuk empat anggota bomba.
Sumber: Sinar Harian