CALIFORNIA - Hampir 200,000 penduduk kini dipindahkan susulan kebakaran hutan di selatan California yang semakin buruk.
BBC melaporkan, kira-kira 5,000 anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran di empat hutan yang telah memusnahkan ratusan kediaman di selatan negeri ini.
Jumlah penduduk yang dipindahkan terus meningkat semalam apabila kebakaran hutan baharu dilaporkan berlaku di utara San Diego.
Sehingga kini, satu laporan kematian dibuat melibatkan penemuan satu mayat wanita dalam keadaan rentung di Ventura County.
Akhbar Ventura Country Star pula melaporkan satu lagi kematian melibatkan kemalangan kereta, namun tidak dapat dipastikan sama ada situasi itu dikaitkan dengan kebakaran yang berlaku.
Menjelang tengah hari semalam, Jabatan Bomba California memaklumkan sebanyak 189,000 penduduk sudah dipindahkan.
Kebakaran di San Diego dilaporkan telah memusnahkan kawasan seluas 1,000 hektar.
Dalam pada itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran ungu yang merupakan tahap amaran tertinggi dan menyifatkan situasi kini sebagai cuaca yang sangat kritikal.
Selain itu, Universiti California di Los Angeles terpaksa membatalkan banyak kelas bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Satu daripada empat buah sekolah di Los Angeles juga ditutup, selain menyaksikan pasukan bomba memindahkan barangan mewah termasuk karya seni dari beberapa kediaman di Bel Air yang menempatkan selebriti serta orang ternama ketika kebakaran yang dikenali sebagai Skirball Fire melanda kawasan itu.
Kawasan estet kepunyaan bilionair Rupert Murdoch turut musnah dalam kebakaran yang berlaku akibat cuaca panas serta angin kencang Santa Ana.
Sementara itu, Muzium Getty akan terus ditutup sehingga keadaan menjadi stabil dan menegaskan untuk tidak memindahkan semua karya seni memandangkan muzim tersebut dilengkapi dengan sistem penapisan udara yang canggih.
Kebakaran Thomas Fire di Ventura County kekal sebagai kebakaran terbesar dan merebak sehingga ke perairan Pasifik manakala kebakaran di utara Los Angeles yang dikenali sebagai Creek Fire hanya berjaya dipadamkan sebanyak 10 peratus dan memusnahkan kawasan seluas 5,101 hektar.
Sumber: Utusan Online