Kedah Komited Bela Nasib Rakyat Miskin

 

ALOR SETAR - Agenda Peduli Rakyat yang diperkenalkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menerusi pembentangan Bajet 2018 di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, membawa erti besar kepada penduduk Kedah terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Antara yang menarik perhatian adalah bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat dinaikkan dari RM150 kepada RM200 yang memberi manfaat kepada 4,000 individu terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan fakir miskin.

Selain itu, bermula Januari 2018, penggunaan air pada kadar 20 meter kiub ke bawah bagi pengguna domestik diberikan secara percuma dengan bayaran bil ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Mungkin ada pihak mencemuh, tidak kurang juga mempertikaikan pem­­­berian tersebut yang dianggap terlalu sedikit bagi mereka.

Namun jika dinilai secara kese­luruhan, kerajaan negeri hakikatnya tidak lokek untuk berbe­lanja besar bagi mengagihkan kekayaan negeri secara sama rata kepada mereka yang layak meneri­manya.

Sebagai contoh, untuk bantuan am yang diberikan itu, biaya keseluruhannya mencecah RM2.5 juta setahun.

Manakala untuk pemberian air percuma pula, sebanyak 221,000 pemegang akaun di negeri ini bakal menerima manfaat dengan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri berjumlah RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun.

Seperti biasa, apabila perkara-perkara baik sebegini dibentangkan, akan ada pihak-pihak tertentu yang 'berbunyi' dan menuduh kononnya apa yang dibentangkan itu hanyalah 'gula-gula' pilihan raya.

Namun tidak ramai menyedari bahawa apa yang dilakukan Ahmad Bashah ketika ini adalah melunaskan janji-janjinya sewaktu mula mengangkat sum­pah selaku Menteri Besar, tahun lalu iaitu memastikan kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin dan berpendapatan rendah terbela.

Itulah sebabnya mengapa Ahmad Bashah memperkenalkan Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) hanya dalam tempoh dua bulan memegang tampuk pentadbiran. Dengan pelaksanaannya yang diteruskan sehingga kini, ada pihak melihat ia mengundang pelbagai fitnah daripada pihak pembangkang yang kian tertekan.

Mengulas usaha dijalankan kerajaan negeri dalam menjengah kebajikan rakyat termiskin, Pengerusi Jawatankuasa Penera­ngan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, kerajaan negeri di bawah pemerintahan Ahmad Bashah menjalin kerjasama yang cukup erat untuk menyantuni golongan berkenaan.

“Usaha berterusan kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat memberi impak positif apabila kadar kemiskinan di negeri ini berada pada paras 1.99 peratus.

“Setakat ini cuma ada 1,953 individu dikategorikan sebagai miskin tegar dan 6,543 orang pada kategori miskin berbanding keseluruhan 2,215,400 orang rakyat Kedah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah beliau, seramai 24,255 individu telah pun berjaya keluar daripada garis kemiskinan.

“Sama ada kerajaan Pusat atau negeri, kedua-duanya banyak membantu dalam menaik taraf ekonomi rakyat ini.

“Di Kedah, seramai 40,218 individu menerima manfaat menerusi pelbagai program bantuan yang dilaksanakan kerajaan melibatkan peruntukan berjumlah RM22.568 juta,” katanya.

Sumber: Utusan Online