ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah komited mempelbagaikan program dan pendekatan terbaik dalam usaha menyediakan platform bagi pembangunan usahawan di negeri ini.
Segala perancangan dicatatkan bagi mewujudkan peluang saksama kepada sesiapa sahaja yang mempunyai iltizam mengubah masa depan diri dan pada masa sama memberi manfaat kepada orang sekeliling seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Jelapang Padi.
Banyak skim telah diwujudkan bagi menyalurkan bantuan secara terus kepada usahawan untuk tujuan tersebut di bawah seliaan agensi seperti Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK), Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, meskipun sebahagian daripada program yang dijanakan berbentuk pemberian one-off, namun ia dapat dizahirkan secara konsisten demi memikirkan keperluan komuniti dari semasa ke semasa.
“Kerajaan negeri komited membantu usahawan pelbagai bidang termasuk industri kecil sederhana (IKS) negeri ini bagi meningkatkan kelangsungan usahawan bukan hanya di peringkat tempatan malah hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 baru-baru ini di sini.
Tambah beliau, agensi berkenaan berfungsi sebagai pemudah cara bagi usahawan mengenal pasti saluran bersesuaian mengikut cabang perusahaan masing-masing termasuk program usahawan termasuk skim pinjaman perniagaan oleh pihak swasta dan bank komersial.
“Sebagai contoh, UPUK berperanan sebagai pusat pembangunan, penyelarasan dan rujukan utama usahawan di Kedah. Walaupun terdapat pelbagai program dan bantuan kepada peniaga disediakan kerajaan, namun akses kepada maklumat perniagaan ini merupakan salah satu cabaran yang dihadapi usahawan.
“UPUK diberikan tanggungjawab untuk membangunkan usahawan baharu melalui program bimbingan dan khidmat nasihat perniagaan yang disokong dengan bantuan kewangan yang bersesuaian. Untuk tujuan pembiayaan, skim mikro kredit sedia menawarkan pembiayaan perniagaan daripada RM5,000 sehingga RM50,000 bagi membantu usahawan,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Online.
Jelasnya, agensi tersebut memberi kemudahan kepada usahawan dengan kadar faedah rendah sebanyak 3.5 peratus setahun, adalah diharapkan ia akan dapat membantu usahawan mikro memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.
“Bantuan ini akan dilaksanakan oleh UPUK dengan kerjasama institusi kewangan yang dilantik untuk menawarkan perkhidmatan kepada golongan peniaga baharu yang disasarkan termasuklah golongan belia, wanita, usahawan luar bandar dan usahawan daripada orang kurang upaya (OKU).
“Ini adalah antara akujanji yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi rakyat dengan setiap perkembangan usahawan mendapat bimbingan dan pemantau unit berkenaan secara berterusan,” ujarnya.
Sementara itu, Zamri Bahrin, 28, berkata, golongan muda perlu menggunakan kemudahan yang disediakan pihak kerajaan dengan sebaiknya.
“Sebenarnya banyak program yang disasarkan bagi membantu bakal usahawan dan peniaga disediakan pihak kerajaan tetapi maklumat tersebut tidak sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Zamri yang merupakan usahawan tani mengusahakan perniagaan sayur-sayuran berkata, golongan usahawan atau sesiapa berminat memulakan perniagaan perlu agresif dan tidak segan bertanya bagi mendapatkan maklumat tepat berkenaan program disediakan kerajaan.
Ujarnya, peniaga harus rajin bertanya dan tidak lokek berkongsi informasi yang baik dan berguna dengan orang lain kerana ia juga jaringan baik dalam perniagaan.
Bagi seorang peniaga barangan elektronik, Mohd. Nurul Hadi Ahmad, 30, berkata, usahawan pada hari ini perlu mempersiapkan diri dengan ilmu teknologi maklumat jika tidak mahu ketinggalan dalam mendapat maklumat berkaitan program keusahawanan.
“Dunia kini umpama di hujung jari dan segala informasi berkenaan penganjuran aktiviti berguna kepada usahawan boleh didapati secara online termasuk cara dan kaedah untuk mendapat bantuan dengan mudah boleh diakses daripada peranti pintar.
“Sungguhpun begitu, usahawan perlu bergaul dan bercampur dengan rakan peniaga untuk menambah jaringan dan berkongsi maklumat kerana ia adalah saluran paling bermanfaat,” katanya. - Kedahnews.com