Kelab Peminat Adakan Solat Hajat Buat Elyana


MINGGU lalu, pelakon dan penyanyi Elyana mengejutkan dunia industri hiburan tanah air dengan berita mengenai penyakit yang dialaminya selama ini.

Susulan pengumuman yang dibuat selepas tersingkir pada konsert kelima Gegar Vaganza 4 (GV4), laman Instagramnya dihujani dengan kata-kata semangat daripada netizen serta rakan-rakan artis.

Malah, suaminya, Khairul Anuar Hussin turut terpanggil untuk berkongsikan kehidupan yang dilalui Elyana sepanjang disahkan menghidapi kanser limfoma.

Sehingga ke hari ini, rata-rata peminat-peminatnya tidak putus mendoakan dan memberikan kata-kata semangat buat pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal itu.


Dek kerana itu, kelab peminatnya, Elyana Official Fan Club atau Elo FC akan mengadakan satu majlis doa selamat dan solat hajat untuk penyanyi itu.

Majlis tersebut akan diadakan pada jam 8 malam, Khamis depan iaitu 17 Disember ini di Masjid Kumpulan Karangkraf Shah Alam, Selangor.

Menurut Zuhairry Zainal yang juga teman baik Elyana, penyanyi itu akan turut menyertai majlis yang penuh keberkatan tersebut.

Tambahnya lagi, majlis ini diadakan bukan untuk meminta simpati, tetapi hanya untuk mendoakan kesejahteraan pelantun suara bagi lagu Kalis Rindu itu.

“Saya dapat tahu mulanya ada lebih daripada satu majlis ingin dianjurkan. Selepas berbincang, ahli kelab sepakat berkumpul beramai-ramai dan menganjurkan satu majlis besar, minggu depan.

“Setakat ini, saya diberitahu ramai peminat termasuk bukan ahli kelab mahu menghadiri majlis doa selamat dan solat hajat yang dirancang,” katanya dipetik BH Online.

Zuhairry mengakui dia antara yang terawal mengetahui tentang penyakit tersebut dan sering membantu mencari rawatan alternatif bagi membantu kawan yang dikenalinya sejak 18 tahun lalu.

“Saya sering menemaninya mencuba rawatan alternatif hingga ke Indonesia. Kami sering mendapatkan maklumat mengenai cara merawat penyakit kanser di internet,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zuhairry menjelaskan sehingga kini Elyana masih boleh bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa termasuklah membuat persembahan.

Mungkin dengan mengadakan acara seperti ini dapat membantu Elyana serta penghidap kanser yang lain untuk terus menjalani kehidupan dan tidak berputus ada.-Kedahnews.com