GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati harga barangan keperluan persekolahan meningkat antara 30 hingga 40 peratus tahun ini, berbanding tahun lalu.
Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata ia adalah hasil tinjauan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu di beberapa premis sekitar negeri ini.
Katanya, ibu bapa dinasihat berjimat dalam berbelanja ketika membeli keperluan persekolahan anak mereka bagi mengelak daripada terbeban dengan kenaikan harga barangan berkenaan.
"Andaikan peningkatan sebanyak 30 peratus, ibu bapa terpaksa membelanjakan tambahan RM45 bagi setiap anak mereka yang bersekolah, berbanding tahun lalu.
"Jumlah ini besar dan secara tak langsung mengurangkan perbelanjaan lain bagi keluarga.
"Ibu bapa perlu juga perlu memberi keutamaan kepada keperluan lebih penting seperti menyediakan makanan berkhasiat, membayar yuran sekolah, perpustakaan, sukan, tuisyen dan tambang bas sekolah," katanya pada sidang media di sini, semalam.
CAP mendapati peningkatan harga kelengkapan lengkap persekolahan bagi murid lelaki pada tahun ini naik sehingga RM180.90 berbanding RM133.90 pada 2016, manakala murid perempuan pula meningkat antara RM174.70 hingga RM189.60 berbanding RM157.60 pada tahun lalu.
Mohamed berkata, ibu bapa juga perlu bijak mengurus keperluan persekolahan anak masing-masing dengan mengguna pakai semula barangan yang masih dalam keadaan baik.
"Kita perlu bekerjasama menghapuskan budaya tidak sihat ini (membeli kelengkapan persekolahan baharu setiap tahun) yang boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan kepada ibu, bapa dan pelajar yang kurang berkemampuan.
"CAP juga menggesa kerajaan supaya menjalankan pemeriksaan kualiti pakaian seragam persekolahan di pasaran dengan segera, sekali gus memastikan kos sara hidup dapat dikurangkan," katanya.
Sumber: BH Online