Sebuah keluarga terkejut selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam kelibat ‘orang minyak’ yang didakwa menceroboh masuk ke rumah mereka sebelum melakukan rompakan dalam kejadian di Lorong Dewan Simpang 3, Gombak, pagi Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam lima pagi itu, suspek lelaki yang dalam keadaan bertelanjang dilihat turut membawa lari sebuah beg yang diletakkan di bahunya.
Pengguna Facebook Yaze Dody yang memuat naik rakaman kejadian berkata, insiden tersebut disedari selepas ibunya mengejutkan dia dari tidur untuk menghantarnya ke masjid pada pukul 5.30 pagi.
Katanya, mereka kemudian mendapati terdapat kesan pecah pada pintu rumah di bahagian belakang sebelum mereka bertindak melakukan pemeriksaan.
“Saya cuba tengok sekitar belakang rumah, saya tak jumpa sesiapa tetapi terdengar bunyi orang cuba melarikan diri.
“Dengan rasa tak puas hati, kami sekeluarga cuba periksa guna CCTV rumah, dan kami dapati seorang lelaki berkulit gelap tanpa baju macam (dipaparkan) dalam video ni telah melarikan beg adik saya,” demikian katanya dalam entri di Facebook, kelmarin.
Rakaman video berdurasi 17 saat yang dimuat naik oleh Yaze sehingga kini mendapat tontonan lebih 304,000 kali dan dikongsi lebih 1,900 pengguna Facebook.
Dua keping gambar yang dikongsi menunjukkan keadaan sekitar rumah juga bersepah, manakala satu lagi menunjukkan barangan yang dirompak kelihatan diselongkar oleh suspek, sebelum ditemui dipercayai di sekitar rumah mangsa.
Yaze berkata dia beryukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan tiada sebarang kecederaan yang berlaku.
Bagaimanapun, dia menasihati orang ramai khususnya penduduk sekitar Gombak supaya lebih berhati-hati dan mengawasi ahli keluarga masing-masing kerana kejadian lebih buruk mungkin boleh berlaku.
“Jadi kepada orang Gombak, hati-hati dan awasi keluarga... kalau barang hilang boleh tahan, tapi kalau dia masuk dan rogol ahli keluarga perempuan macam mana?,” katanya yang memaklumkan rumahnya terletak bersebelahan dengan sekolah Tadika Kemas dan berdekatan sungai.
Laporan polis berhubung kejadian tersebut telah dibuat di Balai Polis Gombak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad yang mengesahkan kejadian tersebut memaklumkan pihaknya telah menjalankan siasatan dan menemui beg di lokasi kejadian, yang mana ia masih dalam keadaan elok.
"Kami sedang mengesan lelaki itu untuk menentukan sama ada dia mempunyai masalah sakit mental atau sebaliknya,” katanya memetik NST.
Kes disiasat kerana menceroboh.
Sumber: Malaysian Digest