Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Paling Moden Dalam Sejarah ATM


Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Jitra yang sebelum ini juga dikenali sebagai Kem Tok Jalai adalah merupakan antara kem yang termoden dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Apa yang difahamkan infrastruktur moden yang dibina melengkapi kem yang bernilai RM92 juta itu mampu untuk menjamin kualiti tugas yang tinggi pada kalangan warga Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD).

ATM khususnya tentera darat menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Allahyarham Mantan Sultan Kedah dan kerajaan negeri di atas kesediaan memperuntukkan tanah bagi pembinaan kem tersebut.

Pembinaan kem itu bermula pada 2007 dan siap serta diambil alih sepenuhnya oleh 6 RAMD yang sebelum itu berpangkalan di Bukit Pinang dekat sini, pada 28 Mac tahun 2010.

Kompleks kem berkeluasan 79,069 hektar itu mengandungi pejabat pentadbiran dan teknikal yang lengkap untuk sebuah batalion infantri standard serta dilengkapi empat buah blok penginapan untuk anggota bujang yang berupaya menampung lebih 600 anggota.

Kem tersebut juga kini dijadikan penempatan dan pemulihan banduan dari penjara awam berdekatan.

Selain itu, kem tentera darat amat menyanjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap pengurusan dan keselamatan terhadap banduan-banduan yang ditempatkan disitu. - Kedahnews.com