Kementerian Tak Halang Guru Berhimpun Sokong "Cikgu Azizan" - Mahdzir


ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan mengambil pendirian tidak akan menghalang mana-mana guru yang ingin hadir berhimpun dan memberikan sokongan jika ada guru terlibat dalam kes mahkamah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setiap individu di negara ini diberi hak untuk menyatakan sokongan mereka kepada rakan sendiri dan ia merupakan soal peribadi masing-masing.

"Saya tiada halangan sekiranya warga guru ingin berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada rakan mereka yang terlibat dalam kes mahkamah.

"Setiap individu mempunyai hak tersendiri untuk menyatakan sokongan terhadap rakan mereka sendiri dan isu kehadiran di mahkamah ini adalah hak peribadi masing-masing," kata Mahdzir, memetik kenyataan di media sosial Facebook rasminya, hari ini.

Menteri Pendidikan itu dipercayai memberi ulasan mengenai isu seorang guru yang dikenali sebagai "Cikgu Azizan" yang difahamkan akan dihadapkan ke mahkamah esok atas dakwaan menyerang seorang pelajar.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam kenyataan 15 Disember lalu telah menggesa gur-guru di seluruh negara memberikan solidariti kepada "Cikgu Azizan".

NUTP turut meminta sokongan guru untuk hadir ke perbicaraan di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, pada jam 8.30 pagi, esok.

Mahdzir yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Terap turut menyatakan bahawa tindakan memberi sokongan kepada rakan adalah suatu yang normal dan begitu juga dengan kes yang sedang hangat diperkatakan ini.

"Kalau jadi pada rakan kita, kita juga akan hadir, begitu juga dengan warga guru," kata Mahdzir yang turut mengongsikan kenyataannya itu di Facebook.

Guru tersebut dikatakan telah menghukum pelajar berkenaan atas kesalahan disiplin seperti menghidu gam, terlibat dalam pergaduhan dan membuli pelajar lain.

Menurut laporan media arus perdana, dia didakwa bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan berhadapan hukuman setahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika didapati bersalah.

Isu tersebut menjadi tular dengan ramai pengguna laman sosial menggunakan #PrayForCikguAzizan bagi menyatakan sokongan mereka terhadapnya. - Kedahnews.com